Wednesday, 30 October 2013

Ujian Allah : Endometriosis



"Awak mengandung dah berapa bulan dah?"

"Alhamdulillah, nak masuk 5 bulan dah.." Jawab si bakal ibu, sambil bibir tak lekang dengan senyuman gembira.. Pastinya dalam hati jua berbunga-bunga bahagia, memikirkan anak yang bakal lahir yang pastinya menyerikan lagi kehidupan mereka suami isteri.

Melayari kehidupan sebagai seorang wanita dan ibu amat indah bukan.. Tapi tak semua wanita berpeluang menjadi seorang ibu walau itulah yang amat didambakan.. Rezeki harta, wang ringgit, anak-anak, Allah dah tentukan pada setiap hambaNya.. Apa yang menjadi ukuran adalah penerimaan kita sebagai hambaNya yang seharusnya tak putus berusaha dan berdoa, dan akhirnya redha dengan apa yang diperolehi..

Allah berfirman yang bermaksud:

“Adakah manusia mengira, bahawa mereka akan dibiarkan saja, dengan mengatakan: Kami telah beriman, padahal mereka belum lagi mendapat cubaan?” (Surah al-Ankabut, ayat 2)

Saya hanya ingin berkongsi secebis kisah kakak ipar saya. Sejauh mana kekuatan dirinya menghadapi ujian Allah, hanya dia dan Allah yang tahu.. Kakak ipar saya bertemu jodoh dengan abang, 11 tahun yang lalu.. Tak sampai beberapa bulan berkahwin, bapa beliau telah kembali ke rahmatullah, kemudian ibunya pula mengikut jejak yang sama. Beliau cuma mempunyai seorang kakak.

Sejak berkahwin, abang saya tinggal bersama kami sekeluarga. (waktu itu pastinya saya belum berkahwin) Maka, di dalam sebuah rumah, termasuk kami 6 beradik, mak dan abah, menjadikan kami 9 orang. Pastinya pada awalnya beliau tidak betah tinggal bersama mertua dan ipar duai. Tapi, alhamdulillah sedikit demi sedikit beliau dapat menyesuaikan diri. Saya sendiri menganggapnya bagai kakak sendiri, dan saya pasti begitu jua dengan mak, abah dan adik beradik yang lain. Malah, dalam hal urusan keluarga, beliau yang banyak membantu. Ketika arwah abah sakit, beliau juga antara yang banyak menghulur bantuan. Kasih sayang beliau tertumpah pada kami, dan amat kami hargainya..

Masa awal perkahwinannya, saya sering mengusik bertanya.. "camner, camner? dah ada isi ye.."
Sungguh, saya ingat sesudah berkahwin, semudah itu nak nak dapat zuriat.. (itu dulu..waktu masih bergelar anak dara..)

Tapi kini, soalan itu seakan mati.. Saya tak lagi mengajukan soalan sebegitu terhadapnya. Saya mengerti situasinya, faham keadaanya, walau tak mampu saya selam sepenuhnya dasar hatinya.. Alhamdulillah, mak dan arwah abah, kami adik beradik tak pernah mendesak bertanyakan hal sebegitu pada kakak ipar dan abang. Malah tak pernah kami menyalahkannya, kami akur dengan ujian Allah.. Sesungguhnya saya bersyukur kami tidak tergolong di kalangan mereka yang bersikap dan berfikir negatif bila berdepan situasi sebegini.

Namun, saya sering berkongsi cerita dengannya. Untuk berkongsi rasa, beliau terlalu bijak menyembunyikannya.. Beliau sebenarnya disahkan mengalami endometriosis. Rawatan demi rawatan dilakukan, namun, adakalanya ia tetap berulang.. Mengimpikan zuriat, banyak usaha yang telah dilakukan, berurut, kaedah kesuburan, IUI, dan yang terbaru, IVF..

(Penyakit endometriosis ini adalah satu keadaan luar biasa di mana tisu dari selaput dalam rahim yang digelar endometrium telah tumbuh di luar rahim. Selaput ini biasanya luruh bersama-sama darah haid. Oleh itu campuran darah dari rahim dengan tisu yang telah berkecai daripada lapisan endometrium serta kuman-kuman bakteria, menjadikan apa yang digelar ‘darah kotor’ atau darah haid.)

"Kak, camner aritu IVF?"

"Heh, tak yah tanyalah. Tak tau nak cakap apa.. " jawabnya.

"la, cakap la.. " pinta saya.

"Masa nak buat tu, ada satu telur je.. Tu pun doktor cakap cam 'fragile' je.. Last2, masa nak satukan tu dah tau tak menjadi.. So, camtu jelah.."

"Er, pastu camne sekarang?"

"Camner apa? Ntah lah.. tak tau lah.. Lagipun endo tu ada lagi.. Doktor suggest wat operation buang endo tu lagi.. RM13 ribu. Tu belum kos nak wat IVF lagi.. Mana ada duit.. Peluang pun tak tau besar ke tak nak sukses.. " tersenyum menyembunyikan rasa hati dan ada seakan nada mengeluh. Tapi saya yakin, ianya bukan keluhan kerana ujian Allah, tapi keluhan melepaskan rasa yang tak terluah di dasar hati..

"Tak buat apa la ni.. Lagipun aritu scan, nampak polips (cam ketumbuhan kecil) kat rahim.. Kalau membiak, boleh jadi kanser.. Tapi belum la, tak banyak pun.. " bersahaja je jawabnya..

Pernah dulu mereka suami isteri hendak mengambil anak angkat. Tapi, bila hampir diluluskan, kakak iparku menolak, kerana sewaktu bertemu dengan anak kecil tersebut, seakan tiada rasa soul atau chemistry, katanya.. Mungkin hati masih berbelah bagi kerana berlainan darah keturunan.

Lagi satu perkara yang meruntunkan hati saya..

"Akak pernah cakap ngan abang awak, nak kawin lain, kawin la. Tapi, akak tak nak duduk sini la nanti.. Duk rumah lain.."

Saya hanya terdiam. Saya sendiri tak tahu bagaimana sebenarnya apa yang abang saya rasa. Memang memiliki zuriat sendiri itu impian setiap insan. Tapi, saya lihat abangku jua tenang menghadapi situasi ini..

Dan, dengan anak2 saudaralah tempat mereka bermanja.. Malah 'Aisyah, Maryam , Khadeejah dan sepupu-sepupu mereka, Irfan, Naufal dan Harith memang suka betul dengan mak ngah dan pak ngahnya ni.. Dibawaknya berjalan, dilayan karenah anak-anak saudara ini.

Simpati dihati, hanya doa yang selalu saya titipkan..

"Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim.. Kau murahkanlah rezeki mereka dengan anak yang soleh solehah, anak yang menjadi impian mereka. Berikan mereka kekuatan dan redha dengan apa jua ketentuanMu.."

 Sumber artikel : alamhamil.com


Apa itu Endometriosis?

Endometriosis adalah masalah perubatan atau penyakit yang berkaitan dengan tisu yang melapisi bahagian dalam rahim (juga disebut endometrium)  telah tersebar dan tumbuh di kawasan organ lain di dalam tubuh wanita. Kebiasaannya berlaku pada organ-organ pelvis. Endometriosis yang ditemui di saluran fallopian dan ovari boleh menyebabkan parut, pelekatan dan salur fallopian tersumbat serta boleh mempengaruhi kesuburan seseorang wanita.
Endometriosis dikatakan menyerang 7 peratus daripada wanita dalam lingkungan umur 18-35 tahun dan merupakan salah satu sebab utama mengapa wanita gagal hamil.
 
Apakah gejala-gejala endometriosis?
Sakit pada bahagian pelvis adalah di antara gejala utama dan ia kerap terjadi sebelum kitaran haid bermula lagi. Sakit juga kerap terasa semasa melakukan hubungan seks, semasa membuang air kecil atau air besar.
Walau bagaimanapun, kekerapan dan intensiti rasa sakit sebenarnya tidak berkait dengan keseriusan penyakit yang dialami. Sesetengah wanita mungkin mengalami sakit yang keterlaluan tetapi endometriosis mungkin masih dalam peringkat awal dan kepada mereka yang tiada gejala atau sakit yang ringan mungkin sudah pada tahap endometriosis yang sudah teruk.
Dalam kebanyakkan kes, endometriosis gagal didiagnoskan pada peringkat awal sehinggalah wanita tersebut berjumpa doktor disebabkan kegagalan untuk hamil. Ini kerana kebanyakkan dari pesakit tidak mempunyai sebarang tanda dan gejala.

Apakah kesan endometriosis terhadap kesuburan wanita?
Untuk mengetahui kaitannya dengan kesuburan, amat penting untuk wanita memahami dengan jelas apa itu endometriosis dan bagaimana ia boleh mempengaruhi  kesuburan mereka.
Dalam keadaan normal, lapisan endometrium cuma ada pada dinding rahim sahaja. Manakala bagi kes endometriosis, lapisan tisu itu juga dijumpai pada kawasan badan yang lain terutamanya di dalam pelvis seperti ovari, salur fallopian, di permukaan rahim, di ruangan pelvis sekitar usus, rektum dan pundi kencing. Ia boleh juga dijumpai di bahagian-bahagian yang lebih jauh pada tubuh termasuklah paru-paru dan hati, tetapi ini sangat jarang berlaku.

Walaupun tisu endometrium berada di luar kawasan yang tidak sepatutnya, ia masih responsif terhadap perubahan hormon yang berlaku semasa kitaran haid wanita. Seperti mana haid, tisu endometriosis akan gugur dan berdarah, dengan cara yang sama dengan dinding rahim gugur dan berdarah semasa kitaran haid. Pendarahan ini boleh menyebabkan rasa sakit, terutama sebelum dan semasa haid.

Tisu yang gugur dan berdarah di sekitar organ pelvis akan menyebabkan parut dan organ-organ lain yang berhampiran akan melekat di antara satu sama lain.
Sekiranya tiada rawatan dan tidak dikesan lebih awal, ia akan akan menyebabkan struktur organ-organ pelvis beralih dari kedudukan normal. Sebagai contoh yang paling kerap berlaku, kedudukan ovari yang melekat pada uterus akan menyebabkan salur fallopian akan berjauhan dari ovari dan sekiranya berlaku ovulasi, telur tidak akan dapat dicapai oleh salur fallopian dan persenyawaan tidak akan berlaku.

 Dalam kes yang lebih serius, kerosakan mendalam pada salur fallopian menyebabkan ia tersumbat, rosak dan infertiliti akan berlaku. Ovari yang ditumbuhi endometriosis pula akan mengumpul darah semasa kitaran haid dan berlakulah ovarian cyst yang mengandungi darah iaitu seakan-akan seperti coklat cair di dalamnya.
 
Sekiranya keseluruhan ovari telah diselaputi oleh endometriosis, ovari tidak dapat lagi berfungsi dengan normal dan gagal melepaskan telur disebabkan follikel terperangkap oleh parut pada bahagian permukaan ovari.

Endometriosis juga boleh mengurangkan kesuburan dengan melepaskan bahan kimia beracun pada pelvis. Sekiranya telur berjaya dilepaskan juga dari ovari, bahan kimia ini boleh mengurangkan kemampuan telur untuk disenyawakan. Bahkan ia juga boleh memberikan signal kepada sel pemusnah badan untuk melemahkan telur, sperma dan juga embrio menyebabkan janin kurang sihat dan keguguran senang berlaku.

Siapa Berisiko? Apa Punca Endometriosis?
Sehingga kini saintis masih belum dapat mengenalpasti punca sebenar bagaimana ia terjadi. Tetapi terdapat teori yang baik dan boleh memberikan penjelasan mengapa ia mula terjadi. Adalah dipercayai bahawa darah haid yang berundur ke belakang telah membawa bersama tisu endometrium menyebabkan ia tumbuh pada pelvis dan berdarah seperti mana kitaran haid. Ada juga yang menyatakan ia tersebar melalui darah ke pelbagai bahagian tubuh yang lain. Ia juga mungkin melibatkan mekanisma yang lebih kompleks di mana terdapat interakasi tidak normal pada peringkat sel dan perubahan hormon.

Endometriosis kerap terjadi pada wanita yang berada dalam lingkungan umur lewat 20-an dan 30-an dan juga pada wanita yang tidak pernah mempunyai anak. Endometriosis memiliki komponen genetik iaitu sekiranya seseorang wanita yang mengalami endometriosis mempunyai saudara terdekat, ada kemungkinan saudaranya itu mungkin mengalami endometriosis juga.
Bagaimana diagnosa boleh dilakukan?
Doktor selalunya akan mengambil sejarah perubatan terperinci dan melakukan pemeriksaan fizikal, termasuk pemeriksaan faraj dan juga pemeriksaan US. Jika doktor mengesyaki kemungkinan wanita itu mengalami endometriosis, beliau mungkin menyarankan pembedahan laparoskopi dijalankan untuk melihat keadaan bahagian dalam ruang pelvis. Jika endometriosis dijumpai, doktor akan menentukan sejauh mana endometriosis sudah dan berapa banyak kerosakan yang telah berlaku.

Bagaimana Endometriosis dirawat?
Rawatan untuk endometriosis bergantung pada sejauh mana penyakit, gejala dan keinginan pesakit untuk memiliki anak. Endometriosis boleh dirawat dengan ubatan, pembedahan atau kombinasi kedua-duanya. 
 
Walau bagaimanapun pesakit harus sedar bahawa proses yang menyebabkan endometrisis masih lagi berlaku dan akan berterusan berlaku sepanjang hidup. Jadi risiko untuk mendapat penyakit ini semula adalah tinggi. 

Rawatan ubat sahaja mungkin boleh menghilangkan rasa sakit tetapi tidak akan  menghalang endometriosis dari merebak. Rawatan hormon pula boleh mempengaruhi kesuburan dan tidak sesuai untuk diberikan kepada mereka yang merancang untuk hamil.

Dalam banyak kes endometriosis, pembedahan menjadi pilihan utama dan pembedahan biasanya dilakukan melalui laparoskopi. Semasa laparoskopi, tisu endometriosis dimusnahkan atau dibuang dan tisu-tisu yang baru terjadi akan dibakar dengan mengunakan alat khas. 

Beberapa penyelidikan menunjukkan bahawa kadar kehamilan selepas pembedahan untuk wanita yang mengalami endometriosis adalah setinggi 47 peratus. Kepada mereka yang mengidap endometriosis yang serius mungkin sekitar 38 peratus. Walaupun kadar kehamilan tidaklah begitu tinggi, tetapi ia jauh lebih baik daripada kadar kehamilan tanpa sebarang rawatan pembedahan.

No comments: