Saturday 26 October 2013

Konsep Berniaga Dalam Islam

Bismillah..

Menyedari berniaga dalam islam merupakan sunnah dan perkara muamalah dimana saling memberi dan menerima, saya mula berminat menerokai lagi konsep ini dengan mencari 'guru' dan rujukan yang membawa kepada konsep islami. Sebelum ini jual beli mungkin dianggap rutin biasa dalam kehidupan. Namun jika kita selam dari sudut Islam, kita akan lihat dan sedar betapa ianya satu urusniaga yang bukan sekadar meraih untung, malahan ganjaran yang bukan bersifat duniawi inshaa allah..

Erti hidup pada memberi.. Ia 'slogan' yang sering diungkapkan oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil.

Saya melihat, dalam apa jua yang kita lakukan, ia bukan sekadar untuk diri sendiri sahaja. Kita hidup, perlukan rezeki yang halal bukan sahaja untuk diri kita malahan untuk diberikan kepada keluarga. Pada masa yang sama kita juga memperuntukkan sebahagian untuk orang lain. Barulah ianya memperoleh barakah.

Apakah erti keuntungan yang sebenarnya? Keuntungan kalau kita fahami dari sudut islami dan insani bukanlah bermaksud rigid menjual barang dengan harga yang lebih tinggi dari modal. Untung juga boleh diperoleh dalam keadaan harga yang dijual lebih rendah dari harga kos.

Dalam berniaga, adakala kita memang mengambil untung dari segi nilai wang. Namun adakalanya kita jua perlu bersedia untuk mengambil untung modal sahaja dan ada masanya mungkin kita mengalami kerugian dari segi nilai wang tetapi untung dari segi nilai lain.

Suka saya membawa contoh yang diberikan oleh saudara Shamsudin Kadir.  Sebagai peniaga, untuk pelanggan yang dilihat berkemampuan kita boleh menjual barang / menawarkan perkhidmatan  pada harga premium iaitu tinggi dari kos yang kita keluarkan. Bagi pelanggan yang dilihat tidak mampu tetapi barang / perkhidmatan tersebut adalah keperluan buat mereka, kita boleh menawarkan diskaun, dimana harganya kurang tetapi kita masih mendapat untung. Sekiranya pelanggan benar-benar tidak mampu tetapi ianya perlu buat mereka, kita mungkin boleh memberi pada harga kos yang mana kita tidak memperoleh untung. Atau sekiranya benar-benar dhaif atau pun OKU, kita boleh sahaja memberinya secara percuma.

Disini terletak indahnya islami dan insani. Berniaga dalam islam merangkumi bukan sahaja untung nilai duniawi, tetapi merangkumi pahala, zakat, sedekah dan saling berkasih sayang. Berniagalah dengan memegang konsep patuh syariah, inshaa allah Allah mudahkan jalan dan memberi keberkatan.

Secara asasnya. ia boleh disimpulkan bahawa berniaga di dalam Islam ini adalah berkonsepkan :-
  • Kasih sayang
  • Tiada paksaan
  • Tiada pengaruhi pelanggan
  • Tidak menjual pada pelanggan yang dirasakan produk itu tidak sesuai buat mereka / bukan keperluan.
  • Tidak menjual barang/perkhidmatan yang membazir

No comments: