Friday 25 October 2013

Tanda Hendak Bersalin Dan Pengalaman Yang Berbeza

Bismillah..
   
Setiap pasangan yang punya jiwa insani sememangnya menigimpikan untuk memiliki cahaya mata kan. Berita si isteri berbadan dua semestinya adalah perkhabaran gembira buat pasangan. Bermula dari detik perkhabaran itu, makanya bermulalah episod dan rutin baru. Dan pemeriksaan kesihatan isteri dan kandungannya adalah rutin bulanan wajib.

Sejak sekian lama kita difahamkan tentang proses pemeriksaan yang rigid. Saya menyentuh dari perspektif pemeriksaan di klinik kerajaan ye. Bermula dari proses membuka buku merah dan seterusnya pemeriksaan kesihatan yang lain. Secara jujurnya,saya tidak mempunyai komen mengenai ini. 

Permeriksaan kesihatan yang dijalankan tersebut bagi saya memang perlu untuk mengetahui tahap kesihatan si ibu dan kandungannya. Antaranya pemeriksaan tekanan darah, tahap air kencing, paras hemoglobin ibu,denyut jantung kandungan dan lain-lain lagi. Ia saya rasakan perlu untuk kita ketahui sepanjang membawa kandungan ini disamping pengawasan dari si ibu itu sendiri.
Cumanya saya masih dalam pemerhatian adakah perlu suntikan imunisasi bagi pencegahan sesuatu penyakit itu. Namun bukan ini yang ingin saya ulaskan.                               

Menyentuh mengenai tibanya detik kelahiran, tanda-tanda berikut boleh dijadikan panduan. Mungkin bukan kesemua tanda berikut si ibu akan alaminya. Lain wanita, lain apa yang dialaminya.

1) keluarnya lendir bercampur darah - tanda pintu rahim mula membuka
2) sakit pada bahagian pinggang dan belakang
3) proses kontraksi (contraction) yang semakin kerap dan tempoh sakit semakin panjang. contohnya kontraksi 5 minit sekali dalam tempoh sejam
4) pecah air ketuban - warnanya jernih dan tanpa bau

Makanya apabila tanda-tanda ini telah ada, kita dinasihatkan perlu ke hospital kerana proses kelahiran sudah menghampiri.

Sama ada kita sedar atau tidak, dan kita tahu atau tidak, kita akan mengikut apa yg telah digariskan oleh pihak hospital/disarankan oleh doktor. Tanpa pengalaman, ilmu dan mengetahui hak kita sebagai seorang pesakit, kita hanya akur. Saya tidak melihat contoh orang lain, tetapi ia berdasarkan pengalaman saya sendiri dengan 3 situasi kelahiran.

Pengalaman Anak pertama

Kami mengambil keputusan untuk bersalin di HUKM, selepas memohon petunjuk dan tidak henti-henti berdoa agar kelahiran anak ini nanti tidak disambut oleh doktor/kakitangan lelaki. Alhamdulillah, Allah maha Mendengar..

Usia kandungan telah mencecah 40 minggu 1 hari. Pagi itu, terasa kontraksi yang agak kerap, tetapi tidaklah terlalu sakit. Saya agak keliru. Inikah tandanya? Selepas berfikir-fikir dan bertanya pada ibu dan rakan, mereka sarankan ke hospital. Saya tiba di HUKM jam 11 lebih pagi. Terus ke wad kecemasan untuk kes ibu bersalin. Disana, doktor memeriksa bukaan telah pun 3-4 cm. tanpa diberi apa-apa penerangan, doktor cuma berkata..
 
"saya pecahkan air ketuban ye untuk cepatkan proses".

saya yang sememangnya tiada apa-apa pengetahuan hanya akur. Kemudian saya ditolak ke wad bersalin, dicucuk tangan untuk dimasukkan  yang saya panggil 'air' ketika itu. Sungguh, saya tidak tahu apa air itu dan fungsinya.

Alhamdulillah, pukul 3 pm saya selamat melahirkan 'Aisyah Humaira. Kelahiran yang dipermudahkan, alhamdulillah..

Pengalaman Anak Kedua

Kali ini, kami memilih Kohilal Taman Melawati. Tanggal 14 Ogos, bersamaan 4 Ramadhan (40 minggu 4 hari) saya pergi untuk chek up. Pagi tu rasa macam contraction sikit-sikit.. Tapi perasaan terdetik macam.."eh, yeke.. perasaan je ni kot.. sebab terlalu mengharap sangat baby keluar.."Lagipun, bila kira2 tak de pun datang selang 20 minit, selang 10 minit ke..sakit pun tak sangat..

Dipendekkan cerita, bila jumpa doktor... Doktor kata dah buka 3 cm.. Terkejut jugak..

"Awak nak terus masuk wad ke, atau balik rumah dulu, tunggu laluan buka sendiri..?"

Saya seakan terkulat-kulat memandang suami.. Kami serba salah.

" Saya rasa awak terus warded lah.. saya tengok muka awak cam dah risau lain je..." kata doktor..

"Nanti cek CTG, pastu saya masukkan water drip.." sambung doktor..
 
Dan kami akur. Itu yang disarankan oleh doktor.
 
Selepas solat zohor, dan berbuka puasa kerana ingin mengumpul tenaga, lebih kurang jam 215 ptg, 'water drip' dimasukkan. Selepas water drip dimasukkan, saya mula merasakan contraktion yang agak kerap, tapi dalam masa sama rasa hairan, "eh, takkan lah dah rasa nak bersalin ni?" tapi rasa tu seakan tidak dapat ditahan lagi. Saya memberitahu nurse. Nurse pada mulanya seaakan tidak percaya , namun selepas cek bukaan laluan, mula kelam kabut sediakan peraalatan untuk menyambut kelahiran.

Nurse memaklumkan, doktor tiada kerana ke kedai sebentar membeli barang dapur..huhu.. Tidak lama kemudian doktor tiba dengan tergesa-gesa. Alhamdulillah, Maryam Safiyyah selamat dilahirkan jam 357 pm.

Pengalaman Anak Ketiga

Untuk kali ini, saya bersalin tanpa ditemani suami kerana suami terpaksa bekerja out station. Apabila kandungan mencecah 40 minggu, saya mula menunggu tanda yang bagaimana pula kali ini. Pagi itu, saya lihat ada sedikit campuran lendir darah keluar dari faraj. Namun tiada seabarang tanda contraction. saya mula mencongak-congak.. hendak pergi ke hospital atau terus tunggu di rumah. 

Memandangkan semua adik beradik bekerja dan tiada siapa yang dapat menghantar ke hospital sekiranya saya sakit bersalin petang itu,kakak ipar saya nasihatkan saya untuk pergi ke hopital. Lebih kurang 1 tengahari, kami sampai di Annur Bangi. bukaan telah pun 2 cm. doktor memberi pilihan untuk balik ke rumah dan tunggu sehingga benar-benar sakit atau menyarankan 'masukkan ubat' untuk mempercepatkan proses bersalin tersebut.

Kali ini, saya lebih bersedia dengan apakah itu "air", "water drip" dan "masukkan ubat" yang dimaksudkan. Setelah merasai 3 pengalaman bersalin (yang satu hampir merasai ketika itu), tiada seorang nurse atau doktor pun yang menerangkan ia adalah sejenis ubat 'Oxytocin(pitocin) yang dimasukkan bagi mempercepatkan proses kelahiran. Melalui pembacaan saya, biasanya doktor akan memasukkan ubat ini apabila mendapati proses melahirkan lambat, sedangkan rahim telah mula bertindak balas.

Masalahnya, untuk situasi ketiga-tiga kelahiran anak ini, doktor terus sarankan kepada saya untuk dimasukkan oxytocin, sedangkan mereka belum pun memantau proses kelahiran itu secara natural.

Untuk pengalaman ketiga ini, saya bertanya pada doktor, perlukah ubat itu dimasukkan? doktor hanya berkata terpulang pada saya. dengan menyatakan , "kalau masuk ubat tu, cepat sikit prosesnya, malam ini boleh bersalin. kalau hendak tunggu sendiri, mungkin esok baru bersalin".

Saya mengambil keputusan tidak mengambil ubat tersebut dan menunggu secara alami. Dan, dengan izin Allah, malam itu jam 11 malam, saya selamat melahirkan Khadeejah Husna.

Melihat kembali pengalaman ketiga-tiga kelahiran anak saya ini, saya simpulkan sendiri saya mungkin kategori yang senang melahirkan, maksudnya tempoh untuk menunggu proses kelahiran itu tidak lama. Alhamdulillah.. Moga untuk anak yang keempat dan sterusnya ini pun begitu juga.
 
Itu secara ringkas pengalaman melahirkan ketiga-tiga anak saya. Namun fokus utama saya belum lagi tersampai di dalam entry ini. Nampaknya kena tunggu entry seterusnya untuk saya  coretkan..

Inshaa allah kita jumpa di entry akan datang ya..


No comments: