Showing posts with label Muhasabah Diri. Show all posts
Showing posts with label Muhasabah Diri. Show all posts

Tuesday, 31 December 2013

Wanita dan Cantik - Nilai Ikhlas

Kecantikan pada pandangan manusia boleh datang dalam pelbagai gaya kerana indah itu adalah pada mata yang melihat. Namun, cantik menurut pandangan ALLAH tentu sahaja datang dari satu acuan sahaja iaitu acuan iman yang ditempa bekasnya dari kefahaman al Quran dan sunnah Rasul Junjungan. Namun, walau apapun yang kita kenakan pada badan, walau sikap baik dan solehah bagaimanapun yang kita pamerkan, ujian akhir kita tetap pada 'dalaman'..iaitu manusia beriman hujung mujahadahnya adalah untuk meneguhkan keikhlasan; melakukan sesuatu bukan kerana sanjungan, pujian, penghargaan atau mengharapkan balasan setimpal, tetapi semata-mata kerana DIA, ALLAH Azza wa Jalla Yang Maha Mengurniakan 
Menyebutnya mudah, tetapi mendapatkannya payah. Kerana itu, setiap waktu, yang perlu kita beratkan adalah merawat niat di kalbu, sebagaimana Sufyan At Thauri, pernah menyatakan :

"Tidaklah aku merawat sesuatu yang lebih berat dari niatku.." lantaran hati itu sifatnya mudah berbolakbalik, tidak tetap dan berubah-ubah. Serangan syaitan datang dari segenap penjuru agar manusia terpedaya walau dengan amal yang mulia. 

Wahai diri...berwaspadalah!


MONOLOG

Ikhlas.. satu ungkapan yang mudah dilafaz, tetapi adakah mudah untuk dipraktikkanya?
Ikhlas..terletak pada niat hati. 
Ikhlas.. tujuannya semata kerana Allah..
Allah Maha Tahu segalanya.. Lintasan hati kita..

Ikhlas.. 
Darinya kita memperoleh ketenteraman jiwa, ketenangan hati..
Sekiranya tidak ikhlas, pasti banyak kecewa yang dipendam. Kerana apa yang dilakukan mengharapkan sesuatu. Mengharapkan balasan, pujian, penghargaan dan nilai di mata yang lain. Dan apabila yang diharap itu tidak dapat dipenuhi, pasti rasa kecewa menyelubungi diri.

Lain pula sekiranya ikhlas.. Dek kerana dibuat semata kerana Lillahi Taala, kita menjadi kuat dan tidak akan kalah oleh pelbagai godaan yang inginkan pujian dan penghargaan manusia..

Allah.. Mampukah diri mencapai ikhlas yang dipandang Allah?

Wednesday, 9 October 2013

La Tahzan

Bismillah..


Lumrah insani
Ingin diri disayangi,
Ingin hati dimiliki,        
Sehati sejiwa
Bersama teman hidup hingga ke syurga.

Percayalah Allah Itu Maha Segalanya
Atur rencanaNya indah pasti penuh hikmah..

La Tahzan..
Walau si dia belum dirimu temui,
Namun kamu punya Dia
Yang selamanya takkan pernah tinggalkanmu
Makin dirimu dekatiNya,
Makin dekat Dia menghampirimu

La tahzan..
Walau dirasakan berseorangan ,
Namun sepi itu seakan tiada,
Rintihanmu seakan ada teman mendengar,
Tangisanmu seakan ada bahu untuk bersandar                  
Dirimu tidak pernah bersendirian
Kerana Dia sentiasa ada..
Bergantunglah hanya pada Dia..

Dan andai suatu masa nanti
dirimu telah temui teman sejiwamu,
Jangan pernah sedetik pun
Dirimu lupa pada Dia, penciptamu..
Berkasihlah, bercintalah..
atas nama cintaNya..

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yg beriman”
Surah Al-Imran ayat 139

Tuesday, 8 October 2013

Suami Isteri - Saling Melengkapi Menyemarak Cinta

gambar : google

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan dan kebesaranNya ialah Dia menciptakan untuk mu pasangan suami isteri dari jenis mu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram antara satu sama lain, dan dijadikan di antara mu rasa kasih sayang dan belas kasihan, sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.
-Rom , ayat 21





Subhanallah..Cantik sungguh padanan ciptaan Allah ini. Masing- masing memiliki ciri-ciri dan keistimewaan tersendiri. Saling memberi dan menerima kelebihan dan kekurangan masing-masing, saling melengkapi..




Dari Abu Hurairah r.a ia berkata:
Rasulullah s.a.w bersabda:

“Pergaulilah kaum wanita itu dengan pergaulan yang lemah lembut, kerana sesungguhnya kaum wanita itu dijadikan dari tulang rusuk dan sesungguhnya tulang rusuk yang sebengkok-bengkoknya ialah yang paling atas. Maka apabila engkau hendak meluruskannya, luruskanlah dengan perlahan dan apabila tidak diluruskan, ia sentiasa bengkok selama-lamanya. Oleh sebab itu pergaulilah wanita dengan pergaulan yang lemah lembut”.

(H.R Bukhari dan Muslim)

Komunikasi yang berkesan antara pasangan penting  dalam membina hubungan suami isteri. Memang diakui, setiap insan memiliki perwatakan yang berbeza. Ada yang memiliki pasangan yang pendiam, tidak banyak cakap dan berkata apabila ada yang penting sahaja. Tidak kurang juga perwatakan yang berlawanan. Seorang yang ceria, sedia berkongsi apa sahaja dan mudah bercerita. Jangan jadikan titik perbezaan ini sebagai jurang. Sebaliknya,cari kaedah yang sesuai untuk diserasikan. Jangan memberi alasan pasangan sukar menerima teguran dan mendengar nasihat. Cari medium/perantara yang selamat yang dirasakan sesuai untuk menyampaikan maksud.

Komunikasi bukan sahaja terbatas dalam konteks mata bertentang mata. Yang dekat, malah berjauhan juga bukan penghalang untuk isi komunikasi itu sampai. Teknologi kini banyak memudahkan kita, usah salah gunakannya untuk menyebar isu atau berita hangat yang entah betul atau tidak kesahihannya. Sebaliknya, sebarkanlah info, kata- kata , pandangan positif yang membina. Walau ia disampaikan dalam bahasa santai, (tidak dilihat terlalu memberi nasihat), inshaa allah penerimaannya akan disambut secara positif.

Aplikasi facebook, whats app dan pelbagai lagi yang ada kini amat saya suami isteri senangi. Walau tidak dapat berkomunikasi dengan mulut dan telinga, namun komunikasi melalui bahasa dan penulisan rasanya lebih halus juga untuk diterima hingga ke hati. Pesanan, titipan, teguran dan peringatan sang suami (pasangan) tidak dirasakan/didengar keras apabila menyampaikannya kepada sang isteri (pasangan) melalui medium ini. Malah komunikasi melalui medium ini boleh dihayati, dibaca setiap masa, tatkala diri memerlukan pengisian untuk muhasabah diri.

Jangan disebabkan sudah tinggal bersama dan serumah menjadikan pesanan sms, whats app dipandang sepi untuk kita suami isteri. Sedangkan dengan rakan, kumpulan sosial yang kita sertai kita rancak berbalas pesanan. Jadikan setiap hari ditempat kerja malah di dalam rumah bersama pun, perantara itu menjadi medium komunikasi antara pasangan. Usah dibiar semasa fasa jatuh cinta suatu masa dulu sahaja kita rancak, tetapi kini setelah cinta dimiliki, kita memandang sepi. Bangunkan cinta selepas jatuh cinta, semaikan cinta selepas menanam cinta semarakkan cinta selepas menyemai cinta. Inshaa allah.. Berkasih sayang, bercinta dalam redha Allah itu yang kita cari.

Syukur Ya Allah.

Semoga saya sentiasa dahagakan teguran yang membina dari suami tercinta untuk saya membaiki diri agar gelaran isteri, ibu dan wanita solehah saya miliki serta menjadi bidadari suami saya bukan sahaja di dunia, malah di syuga kelak.

Tuesday, 1 October 2013

Kenapa Tutup Kepala?

Bismillah..

Suatu hari di dalam tandas, perbualan tidak lansung antara makcik dan anak buahnya..

Achik   : Kakak, kenapa kakak tutup kepala?
Aishah : Ayah kata kalau nak kencing atau "ook" kena tutup kepala..
Achik   : Oh, ya ke? Kenapa?
Aishah : Sebab nanti syaitan kencing atas kepala kita..

Alhamdulillah..

Seronok kan bila anak-anak ingat apa yang kita ajar dan terapkan nilai dalam kehidupan sehari-hari kita sebagai Muslim..

Dan adakalanya, melalui anak-anak kecil ini kita boleh ambil pengajaran dan memberi  peringatan secara tidak langsung buat kita.

Semoga anak-anak ummi jadi anak yang soleh solehah dan beriman.
Ya Allah.. pelihara dan lindungi hati dan diri anak-anak kami dengan iman dan taqwa.



Duit Yang Tidak Pernah Habis..?

Bismillah..

Suka saya ingin berkongsi pandangan ini.



Petikan dari 
Shamsuddin Kadir
SK Training Academy


Bismillah. Cara paling mudah untuk duit tidak habis, adalah dengan menukar cara kita berfikir dan falsafah hidup. Ya ianya semudah itu dengan izin Allah SWT.

Apabila kita memiliki falsafah hidup yang mahal, kita berbelanja yang penting sahaja.

Apabila kita memiliki falsafah hidup yang murah, kita berbelanja tanpa had.

Apakah itu falsafah hidup yang mahal? Antara contohnya adalah :

1. Apabila k
ita menyimpan sebahagian dari pendapatan dahulu sebelum berbelanja baki pendapatan kita.
2. Mementingkan nilai diri berbanding simbol kekayaan palsu
3. Menilai ilmu jauh lebih penting berbanding duit.

Falsafah hidup yang murah pula antaranya adalah :
1. Hidup ini tidak beharta kalau kita tidak berhutang
2. Mana logik untuk membeli kereta secara tunai
3. Kereta terpakai membuatkan kita menanggung kos yang lebih tinggi dari membeli kereta baru.
4. Pinjaman peribadi adalah perlu untuk setiap individu yang makan gaji.

Astaghfirullah. Wallahu A'lam.

Monday, 30 September 2013

Muraqabah Seorang Hamba..

Bismillah..

Pernah atau tidak kita merasakan diri kita diperhatikan walaupun pada ketika itu kita bersendirian? Atau kita tidak rasa apa-apa? Tenggelam dalam dunia sendiri.. Fokus buat kerja sampai tidak hiraukan sekeliling?

Pernah dengar istilah Muraqabah?
Secara bahasa mudah, ia bermaksud merasakan keagungan Allah swt di setiap waktu dan keadaan serta merasakan kehadiran-Nya, walaupun di saat kita bersendirian ataupun berada di khalayak ramai.

Kalau kita sentiasa merasakan diri kita diperhatikan, mesti kita takut hendak buat apa-apa kesalahan atau dosa kan? Hatta nak buang secara sembunyi bungkusan gula-gula (selit di mana yang sempat je) pun mesti kita tak berani kan. Itu belum lagi perilaku/dosa yang lebih besar lagi..

Andai kita punyai perasaan muraqabah yang sebenarnya, inshaa allah segala perbuatan tidak elok kita dapat hindarkan.

Tapi mudahkah untuk kita menghadirkan perasaan muraqabah itu? Cakap mungkin senang.. Praktikalnya?

Muraqabah mengingati Allah dengan cara merenung dan meneliti kebesaran, keagungan dan kekuasaan Allah. Mampukah kita melihat dengan pandangan matahati, yakin dan ikhlas hanya kepada Allah S.W.T semata-mata di samping melupakan buat seketika sesuatu yang selainNya? 

Andai perasaan ini benar dirasa, pasti kita sentiasa takut dan akur dengan azab Allah. Pasti kita lah hamba Allah yang sangat-sangat mengharapkan ehsan dan rahmat Allah. 

Mampukah kita berselindung dari Allah S.W.T? Sedangkan Allah  sentiasa memerhatikan kita, tahu akan setiap gerak hatii kita..


 "Sesungguhnya bagi Allah tidak ada sesuatu yang tersembunyi baik di bumi ataupun di langit."
(Ali-Imran: 5)


 "Dia Maha Mengetahui akan kekhianatan mata -maksudnya pandangan mata kepada sesuatu yang dilarang atau kerlingan mata sebagai ejekan dan lain-lain perbuatan yang tidak baik- dan apa saja yang tersembunyi dalam hati."
 (al-Mu'min: 19)

 Ya Allah.. sucikan, bersihkan hati kami dari palitan kekotoran dan kejinya hati jahat kami ini..

Saturday, 28 September 2013

Anak Amanah Allah

Merindui mereka..                                                                  

"Sesungguhnya Allah akan bertanya kepada setiap penanggungjawab akan tanggungjawabnya, apakah mereka telah memeliharanya atau mensia-siakannya.” (Riwayat Ibnu Hibban)"

Friday, 27 September 2013

Muhasabah diri melakar barakah

Kala bersendirian adakalanya lebih baik untuk diri. Masa itulah terbaik untuk kita merenung kembali dan muhasabah diri. Apa yang aku buat hari ini, masa lampau ku dulu bagaimana..  

Muhasabah adalah menilai dan membaik pulih diri, bagaimana kita dari kacamata agama. Dari situ kita dapat mendidik diri agar sentiasa melihat kembali perilaku kita sama ada baik atau sebaliknya. Sama ada semakin mendekati Allah atau semakin menjauhkan diri dari Allah. Samaada mendapat redha Allah atau kemurkaan Allah..

Persoalan
siapa kita..
Dari mana kita datang..
Untuk apa kewujudan kita.
Kemana akhirnya kita nanti..  

Itu perkara asas yang perlu kita renungkan. Tanya hati, tanya diri dan jawablah sejujurnya..

Benarkah ia semata-mata kerana Allah? Hidup dan mati kerana Allah?
Bekerja hanya kerana Allah.. Menjadi suri dan ibu kerana Allah?
Menjalani kehidupan semata hanya kerana Allah?

Sudahkah kita mengimarahkan dan memakmurkan bumi Allah ini berasaskan petunjuk al-Quran dan as-sunnah?

Allah..
Tidak saya tuding soalan pada yang lain.. Saya tuding persoalan itu untuk saya sendiri.. Renung-renunglah selalu, muhasabah dirilah selalu Atif.


Hidup, mati hanya sekali..
Usah persiakan..
Usah biarkan peluang itu berlalu pergi.
Muhasabahlah diri sentiasa..
Muhasabah sambil mengatur langkah melakukan perubahan. Perubahan yang lebih mendekati kepada Allah dan Rasullulah s.a.w, kepada agama dan akhirat..

Saat emosi mempengaruhi diri, saat amarah memenuhi dada, saat nafsu menjadi raja, renunglah kembali coretan-coretan yang lalu.. Usah dibiar tarian pena sekadar bahasa indah tanpa meresap ke dalam jiwa melakar barakah..