Thursday, 26 September 2013

Salam perpisahan buat sahabat dan Arab Saudi

Bismillah..

Alhamdulillah.. Hari ini berpeluang merasai hari terakhir berkumpul bersama sahabat-sahabat Jumanisaa Jubail Arab Saudi. Inshaa allah, keputusan dalam waktu yang singkat diambil untuk meninggalkan bumi Saudi ini. Inshaa allah moga keputusan yang kami buat ini adalah yang terbaik yang telah Allah lorongkan jalannya. Terbaik bukan sahaja untuk kami suami isteri,anak-anak malah keluarga dan mereka disekeliling kami juga.

Menetap di bumi asing.. Bak kata pepatah hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, tetapi lebih baik lagi di negeri sendiri. Sedikit sebanyak kami sekeluarga mengakui hakikat itu. Bukan bermakna menjalani kehidupan di bumi Saudi ini pahit dan sukar. Inshaa allah kalau pergantungan itu hanya kepada Allah semata, segala-galanya mudah. Namun memikirkan komitmen kami sebagai anak yang masih mempunyai ibu bapa, yangvtiada galang gantinya itu, apalah erti kerja beribu batu jaraknya andai masa dan perhatian untuk mereka terbatas.

Tidak memandang sisi mereka yang bekerja di negara luar ini mengabaikan orang tua masing-masing. Dengan doa seorang anak dari kejauhan juga boleh membahagiakan ibu bapa. Namun memikirkan di usia mereka begini yang sihat sakitnya silih berganti, adalah lebih mendamaikan hati apabila kami berada di Malaysia, inshaa allah.. Dan faktor lain juga mempengaruhi kami untuk kembali ke Malaysia.

Di Jubail, bandar yang kami duduki ini memang ramai rakyat Malaysia yang bekerja disini. Rasa nationaliti itu tidak hilang walau bukan di bumi sendiri. Malah ia lebih lagi. Dengan menubuhkan Kelab Rakyat Malaysia Jubail (KRMJ) bagi komuniti rakyat Malaysia dan juga kumpulan Sahabat Jumanisaa bagi para wanita dan isteri. Jalinan ukhuwwah yang dijalin terasa manisnya. Dalam suka, ada duka dikongsi bersama.

Selasa 1 Oktober penerbangan pulang saya ke Malaysia.. seorang diri.. kerana anak-anak saya tinggalkan sebelum ini di Malaysia, dan suami pula masih meneruskan perkhidmatan di akhir-akhir sisa kontrak kerjanya di Jubail ini. Tujuan saya meninggalkan anak-anak di Malaysia kononnya ingin mempercepatkan proses mengemas barang-barang rumah dan peribadi, disamping berziarah ke Mekah Madinah. Tapi kemasnya masih belum siap-siap lagi. Aduh.. Hujung minggu ini pula sudah merancang untuk berjalan melihat negara orang, Dubai. Inshaa allah jika berkesempatan saya akan kongsikan pengalaman di Dubai nanti.
Ini hanya beberapa orang antara ratusan Sahabat Jumanisaaa 

No comments: