Wednesday, 9 October 2013

Bisnes Online Dalam Islam

Bismillah..

Jual beli secara online telah menjadi satu fenomena dan dianggap medium yang dirasakan selesa, cepat dan mudah. Tidak perlu saya jelaskan apakah itu sistem bisnes online kerana secara asas, rasanya semua telah tahu.


TRANSAKSI BISNES ONLINE DALAM ISLAM
Transaksi online dibolehkan dalam Islam berdasarkan prinsip-prinsip yang ada dalam perdagangan menurut Islam. Boleh disimpulkan, bisnes online sama seperti bisnes offline. Yang membezakannya ialah proses transaksi (akad) dan medium utama dalam transaksi online iaitu melalui internet.
Bisnes online disifatkan mengikut prinsip transaksi AS - SALAM. Apakah itu transaksi jual beli As-salam?
Jual Beli AS-SALAM  
Ia adalah bentuk transaksi dengan sistem pembayaran secara tunai/disegerakan tetapi penyerahan barang belum dibuat. Dalam konteks kebiasaan bisnes online, selalunya pembeli yang telah berminat dengan sesuatu barangan akan membayar telebih dahulu ke akaun penjual. Kemudian, barulah penjual akan membungkus dan membuat urusan pengeposan kepada pembeli tersebut.
Syarat jual beli as-salam :
berkaitan bayaran yang diserahkan pembeli ialah perlu jelas jenisnya, jelas jumlahnya, dan diserahkan secara tunai ketika akad berlangsung (tidak boleh dengan pembayaran tertunda)
  
berkaitan dengan akad salam : telah dijamin oleh penjual, barang yang dijual diketahui ciri-cirinya dan jumlahnya sehingga boleh dibezakan dengan yang lain dan telah jelas mengenai urusan tempoh penyerahan barang tersebut.

Sayyid Sabiq -rahimahullah- menjelaskan, 

“Jual beli salam dibolehkan berdasarkan kaedah syariat yang telah disepakati. Jual beli semacam ini tidaklah menyelisihi qiyas. Sebagaimana dibolehkan bagi kita untuk melakukan pembayaran tertunda, begitu pula dibolehkan barangnya yang diserahkan tertunda seperti yang ditemukan dalam akad salam, dengan syarat tanpa ada perselisihan antara penjual dan pembeli.

Hutang termasuk pembayaran tertunda dari harta yang dijaminkan. Maka selama barang yang dijual disebutkan ciri-cirinya yang jelas dan dijaminkan oleh penjual, begitu pula pembeli sudah percaya sehingga ia pun rela menyerahkan wang sepenuhnya kepada penjual, namun barangnya tertunda, maka ketika itu barang tersebut boleh diserahkan tertunda.

Inilah yang dimaksud dalam surat Al Baqarah ayat 282 sebagaimana diterangkan oleh Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma.


Bagaimana pula dengan isu barang tersebut tidak dilihat secara fizikal dan nyata, hanya melaui gambar sahaja?


Makanya, disini perlulah penjual online sesuatu produk tersebut menyatakan secara jelas sama ada melalui bentuk penulisan, gambar, visual atau pun gabungan antaranya. Sekiranya pihak pembeli masih kurang jelas dan memerlukan penerangan dan spesifikasi yang lebih jelas lagi, mereka boleh berhubung terus dan bertanyakan kepada penjual.
Menurut pandangan ulamak, sah jual beli yang tidak hadir penjual dan pembeli di dalam suatu majlis, asalkan dinyatakan sifat dan spesifikasinya dan pembeli mempunyai hak khiyar (akan dijelaskan maksud khiyar) apabila telah melihat barang tersebut. 

Khiyar disyariatkan adalah sebagai memenuhi kepentingan transaksi perniagaan dalam hukum Islam. Ia meliputi penjagaan kemaslahatan dan kerelaan kedua belah pihak yang melakukan urusan jual beli. Ia juga sebagai perlindungan kemungkinan risiko yang akan merugikan kedua belah pihak.

Khiyar terbahagi kepada beberapa jenis. 
Namun saya hanya menulis secara ringkas mengenai Hak khiyar ru'yah dan Hak Khiyar aib.

Khiyar rukyah ialah hak membuat pilihan yang diberi kepada pembeli sama ada ingin meneruskan kontrak atau membatalkannya apabila telah melihat barang jualan yang tidak dilihatnya semasa melakukan akad

Khiyar Aib ialah hak untuk membatalkan atau meneruskan jual beli barang bagi pihak yang berakad. Hal ini terjadi jika sesuatu barang yang dibeli mengalami kecacatan atau kerosakan, maka penjual berhak mengembalikan wang yang diberi oleh pembeli tersebut.

Dalam konteks masa kini, Khiyar tidak hanya terikat kepada penerimaan atau pembatalan akad semata-mata. Ia boleh diperluaskan dengan perkhidmatan barangan, sebagai contoh memberikan jaminan, samada secara percuma atau separuh harga ataupun penggantian barang yang baru. Perkara ini boleh dibincangkan antara penjual dan pembeli  bagi menjamin kepuasan kedua-dua belah pihak di dalam urusan jual beli.


Khiyar dalam bisnes online

Di Malaysia, hak khiyar ini tidak diperuntukkan secara khusus dalam bisnes online. Cuma kita sebagai penjual boleh memasukkan terma khiyar ini di dalam perjanjian (akad) jual beli yang kita kendalikan.

Kebanyakan peniaga telah pun membuat terma dan syarat urusan jual beli yang merangkumi barangan, perkhidmatan, pembungkusan, pengeposan dan lain-lain. Ada yang menyatakan secara jelas pemulangan atau pertukaran boleh dibuat sekiranya terdapat kerosakan pada barangan. Sistem pengeposan juga adakala mempunyai risiko dimana barangan boleh rosak atau tidak sampai pada tangan pembeli. Jika situasi ini berlaku, siapakah yang perlu dipertanggungjawabkan? Maka, disini lah pentingnya sesuatu syarat dan terma polisi seseorang penjual/syarikat tersebut digunapakai.

Indahnya sekiranya kita mengaplikasikan apa yang digariskan oleh Islam dalam setiap perkara jual beli ini. Tiada pihak yang rugi, dan kebajikan kedua-dua penjual dan pembeli dijaga inshaa allah.

*nota : saya membuat huraian saya di atas berdasarkan pembacaan saya yang tidak seberapa. Sekiranya terdapat sebarang kesilapan dan salah faham, saya mohon maaf dan mohon diperbetulkan Wallahu aklam..

No comments: