Monday, 30 September 2013

Berniaga Dalam Islam

Bismillah..

Berniaga.. Ramai sekarang menjadikan berniaga sebagai salah satu punca pendapatan. Dan sudah jadi seakan fenomena dan kebiasaan apabila disebut "business online". Ia menjadi satu transaksi yang dianggap mudah, cepat dan selesa. Malah pelajar, suri rumah, dan mereka yang telah mempunyai pekrjaan tetap pun menjadikan perniagaan ini sebagai salah satu punca pendapatan sampingan.

Namun, mengapa berniaga? Apa tujuan berniaga? Adakah kerana terdesak? Adakah melihat urus niaga adalah satu urusan mudah yang senang untuk mendapat untung? Atau kita terikut-ikut dengan orang dan trend terkini "business online".

Sememangnya diakui berniaga merupakan punca pendapatan. Namun perlu diingat, ia merupakan fardhu kifayah yang mengamalkan sistem muamalat iaitu sistem saling memberi.

Sabda Rasulullah s.a.w 
"9/10 rezeki adalah datangnya daripada perniagaan".(Riwayat Tarmizi)


Namun, tujuan mengapa kita berniaga perlu diperbetulkan. ia bukan bersifat keuntungan dunia semata, tetapi lebih kepada meraih keuntungan akhirat, Pokok dan tunjangnya semata menjadikan keredhaan Allah SWT itu sebagai punca menjalankan perniagaan. Setiap perkara berniaga wajib berlandaskan dan rujuk dengan hukum syarak.
Nawaitunya, hendak memperbesar, memperpanjang dan memperluaskan aktiviti syariat atau bertujuan ibadah dan mendapat pahala yang banyak. Justeru itulah di dalam perniagaan, hendaklah sentiasa mencari keredhaan Allah Taala dengan niat yang betul serta perlaksanaan yang betul.

 Firman Allah 

"Wahai orang2 yang beriman,janganlah kamu makan(gunakan) harta2 kamu sesama kamu dengan jalan yang salah(tipu dan sebagainya) kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka diantara kamu,dan janganlah kamu berbunuh bunuhan sesama sendiri.Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu."(An Nisa : 29)


Muraqabah Seorang Hamba..

Bismillah..

Pernah atau tidak kita merasakan diri kita diperhatikan walaupun pada ketika itu kita bersendirian? Atau kita tidak rasa apa-apa? Tenggelam dalam dunia sendiri.. Fokus buat kerja sampai tidak hiraukan sekeliling?

Pernah dengar istilah Muraqabah?
Secara bahasa mudah, ia bermaksud merasakan keagungan Allah swt di setiap waktu dan keadaan serta merasakan kehadiran-Nya, walaupun di saat kita bersendirian ataupun berada di khalayak ramai.

Kalau kita sentiasa merasakan diri kita diperhatikan, mesti kita takut hendak buat apa-apa kesalahan atau dosa kan? Hatta nak buang secara sembunyi bungkusan gula-gula (selit di mana yang sempat je) pun mesti kita tak berani kan. Itu belum lagi perilaku/dosa yang lebih besar lagi..

Andai kita punyai perasaan muraqabah yang sebenarnya, inshaa allah segala perbuatan tidak elok kita dapat hindarkan.

Tapi mudahkah untuk kita menghadirkan perasaan muraqabah itu? Cakap mungkin senang.. Praktikalnya?

Muraqabah mengingati Allah dengan cara merenung dan meneliti kebesaran, keagungan dan kekuasaan Allah. Mampukah kita melihat dengan pandangan matahati, yakin dan ikhlas hanya kepada Allah S.W.T semata-mata di samping melupakan buat seketika sesuatu yang selainNya? 

Andai perasaan ini benar dirasa, pasti kita sentiasa takut dan akur dengan azab Allah. Pasti kita lah hamba Allah yang sangat-sangat mengharapkan ehsan dan rahmat Allah. 

Mampukah kita berselindung dari Allah S.W.T? Sedangkan Allah  sentiasa memerhatikan kita, tahu akan setiap gerak hatii kita..


 "Sesungguhnya bagi Allah tidak ada sesuatu yang tersembunyi baik di bumi ataupun di langit."
(Ali-Imran: 5)


 "Dia Maha Mengetahui akan kekhianatan mata -maksudnya pandangan mata kepada sesuatu yang dilarang atau kerlingan mata sebagai ejekan dan lain-lain perbuatan yang tidak baik- dan apa saja yang tersembunyi dalam hati."
 (al-Mu'min: 19)

 Ya Allah.. sucikan, bersihkan hati kami dari palitan kekotoran dan kejinya hati jahat kami ini..

Saturday, 28 September 2013

Anak Amanah Allah

Merindui mereka..                                                                  

"Sesungguhnya Allah akan bertanya kepada setiap penanggungjawab akan tanggungjawabnya, apakah mereka telah memeliharanya atau mensia-siakannya.” (Riwayat Ibnu Hibban)"

Friday, 27 September 2013

Muhasabah diri melakar barakah

Kala bersendirian adakalanya lebih baik untuk diri. Masa itulah terbaik untuk kita merenung kembali dan muhasabah diri. Apa yang aku buat hari ini, masa lampau ku dulu bagaimana..  

Muhasabah adalah menilai dan membaik pulih diri, bagaimana kita dari kacamata agama. Dari situ kita dapat mendidik diri agar sentiasa melihat kembali perilaku kita sama ada baik atau sebaliknya. Sama ada semakin mendekati Allah atau semakin menjauhkan diri dari Allah. Samaada mendapat redha Allah atau kemurkaan Allah..

Persoalan
siapa kita..
Dari mana kita datang..
Untuk apa kewujudan kita.
Kemana akhirnya kita nanti..  

Itu perkara asas yang perlu kita renungkan. Tanya hati, tanya diri dan jawablah sejujurnya..

Benarkah ia semata-mata kerana Allah? Hidup dan mati kerana Allah?
Bekerja hanya kerana Allah.. Menjadi suri dan ibu kerana Allah?
Menjalani kehidupan semata hanya kerana Allah?

Sudahkah kita mengimarahkan dan memakmurkan bumi Allah ini berasaskan petunjuk al-Quran dan as-sunnah?

Allah..
Tidak saya tuding soalan pada yang lain.. Saya tuding persoalan itu untuk saya sendiri.. Renung-renunglah selalu, muhasabah dirilah selalu Atif.


Hidup, mati hanya sekali..
Usah persiakan..
Usah biarkan peluang itu berlalu pergi.
Muhasabahlah diri sentiasa..
Muhasabah sambil mengatur langkah melakukan perubahan. Perubahan yang lebih mendekati kepada Allah dan Rasullulah s.a.w, kepada agama dan akhirat..

Saat emosi mempengaruhi diri, saat amarah memenuhi dada, saat nafsu menjadi raja, renunglah kembali coretan-coretan yang lalu.. Usah dibiar tarian pena sekadar bahasa indah tanpa meresap ke dalam jiwa melakar barakah..

Thursday, 26 September 2013

Salam perpisahan buat sahabat dan Arab Saudi

Bismillah..

Alhamdulillah.. Hari ini berpeluang merasai hari terakhir berkumpul bersama sahabat-sahabat Jumanisaa Jubail Arab Saudi. Inshaa allah, keputusan dalam waktu yang singkat diambil untuk meninggalkan bumi Saudi ini. Inshaa allah moga keputusan yang kami buat ini adalah yang terbaik yang telah Allah lorongkan jalannya. Terbaik bukan sahaja untuk kami suami isteri,anak-anak malah keluarga dan mereka disekeliling kami juga.

Menetap di bumi asing.. Bak kata pepatah hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, tetapi lebih baik lagi di negeri sendiri. Sedikit sebanyak kami sekeluarga mengakui hakikat itu. Bukan bermakna menjalani kehidupan di bumi Saudi ini pahit dan sukar. Inshaa allah kalau pergantungan itu hanya kepada Allah semata, segala-galanya mudah. Namun memikirkan komitmen kami sebagai anak yang masih mempunyai ibu bapa, yangvtiada galang gantinya itu, apalah erti kerja beribu batu jaraknya andai masa dan perhatian untuk mereka terbatas.

Tidak memandang sisi mereka yang bekerja di negara luar ini mengabaikan orang tua masing-masing. Dengan doa seorang anak dari kejauhan juga boleh membahagiakan ibu bapa. Namun memikirkan di usia mereka begini yang sihat sakitnya silih berganti, adalah lebih mendamaikan hati apabila kami berada di Malaysia, inshaa allah.. Dan faktor lain juga mempengaruhi kami untuk kembali ke Malaysia.

Di Jubail, bandar yang kami duduki ini memang ramai rakyat Malaysia yang bekerja disini. Rasa nationaliti itu tidak hilang walau bukan di bumi sendiri. Malah ia lebih lagi. Dengan menubuhkan Kelab Rakyat Malaysia Jubail (KRMJ) bagi komuniti rakyat Malaysia dan juga kumpulan Sahabat Jumanisaa bagi para wanita dan isteri. Jalinan ukhuwwah yang dijalin terasa manisnya. Dalam suka, ada duka dikongsi bersama.

Selasa 1 Oktober penerbangan pulang saya ke Malaysia.. seorang diri.. kerana anak-anak saya tinggalkan sebelum ini di Malaysia, dan suami pula masih meneruskan perkhidmatan di akhir-akhir sisa kontrak kerjanya di Jubail ini. Tujuan saya meninggalkan anak-anak di Malaysia kononnya ingin mempercepatkan proses mengemas barang-barang rumah dan peribadi, disamping berziarah ke Mekah Madinah. Tapi kemasnya masih belum siap-siap lagi. Aduh.. Hujung minggu ini pula sudah merancang untuk berjalan melihat negara orang, Dubai. Inshaa allah jika berkesempatan saya akan kongsikan pengalaman di Dubai nanti.
Ini hanya beberapa orang antara ratusan Sahabat Jumanisaaa 

Langkah baru kini bermula

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani..

Alhamdulillah..
Inshaa allah.. tempat baru, fasa baru, dengan semangat baru..
Mungkin ini masa yang sesuai untuk saya mengorak langkah baru yang lebih positif dan mempunyai nilai bukan sahaja untuk dunia,malah lebih lagi akhirat.

Saya mempunyai blog catatan yang lain sebelum ini. Namun sudah lama saya tidak mengemas kini. Kini dengan semangat baru, saya telah mendaftar kursus asas membina blog dan fanpage dengan harapan baru. Inshaa allah, doa saya agar saya istiqamah dan berjaya mengurus masa, diri, keluarga dan minat saya dengan teratur.