Monday, 7 October 2013

Fasa Permulaan - Pendaftaran Sekolah Anak

Bismillah..

Hari Jumaat lalu, saya ke Seremban. Menguruskan pendaftaran sekolah anak yang sulung 'Aisyah Humaira untuk sesi darjah satu tahun 2014.

Alhamdulillah, selepas beberapa episod perbincangan, kami suami isteri sepakat untuk meneruskan liku-liku kehidupan keluarga 'kecil' kami di Seremban. Kini saya dan anak-anak menetap bersama ibu dan adik beradik lain (sementara menunggu kontrak suami di Saudi tamat). Anak-anak jua banyak menumpang kasih dan perhatian dari nenek dan pakcik makciknya disini. Pernah jua terdetik keputusan untuk terus tinggal di sini sekurang-kurangnya dalam 6 bulan lagi memandangkan kami perlu melakukan renovation rumah di Seremban terlebih dahulu. Ditambah pula dengan faktor hujung bulan Januari nanti inshaa allah kami akan menerima ahli keluarga baru.'Risau' keadaan dalam pantang dan memikirkan urusan anak-anak yang lain, membuatkan saya terfikir untuk menetap dulu bersama ibu disini.

Petunjuk demi petunjuk kami mohon supaya Allah lorongkan jalan yang terbaik buat kami. Alhamdulillah, kami sepakat menyewa rumah lain di Seremban dahulu sebelum rumah kami sendiri siap sepenuhnya.
Biar kami biasa dengan kehidupan keluarga induk kami. Susah senang, jerit perih membesar dan mendidik anak-anak dari air tangan kami sendiri. Coraknya, acuannya, inshaa allah dari kami sendiri. Lagipun KL-Seremban tidak jauh mana. Bila - bila nenek dan pakcik makcik anak-anak kami ini boleh datang berziarah dan membantu kami jika perlu.

Membuat 'lawatan tidak rasmi' ke Seremban 2 semalam juga menimbulkan rasa seronok dan teruja saya untuk tidak sabar menetap disana. Sudah banyak pembangunan dan kemudahan disana. Dari segi sekolah, fasiliti perkhidmatan awam seperti balai polis, bomba, dan lain-lain jabatan juga berdekatan. Malah kemudahan sosial seperti kedai-kedai, taman riadah, dan jusco AEON pun ada di dalam kawasan Seremban 2 tersebut. Tidak perlu pergi jauh keluar dari kawasan Seremban 2 itu sendiri. Malah, hypermarket Mydin jua sedang dalam pembinaan di kawasan itu. Alhamdulillah.. Sudah agak lama saya tidak membeli belah di Mydin.. hehe..    

Semoga Allah memudahkan urusan kami, inshaa allah..

Pertama kali menitip pengalaman mendaftarkan anak ke sekolah rendah. Oh, sudah besar anak kami, sudah tua rupanya kami.. :)

Sebelum ini untuk kawasan KL Selangor, pendaftaran online perlu dibuat terlebih dahulu. Selepas membuat pilihan sekolah, ibu bapa perlu ke sekolah berkenaan untuk mengisi borang dan menyediakan beberapa salinan dokumen.

Lain pula halnya di Seremban. Belum ada sistem online. Makanya ibu bapa perlu pergi ke sekolah yang terdapat di situ dan mengisi borang kemasukan anak ke sekolah. Memandangkan kini memang rata -rata sekolah penuh, nama anak didaftarkan terlebih dahulu tanpa mengetahui sekolah mana akan dimasukkan.
Menurut kerani sekolah berkenaan, selepas pendaftaran ditutup, sekolah-sekolah di kawasan berkenaan akan menghantar senarai pendaftaran sekolah anak-anak ke jabatan pendidikan. Dari situ, jabatan pendidikan akan membahagikan murid-murid mengikut kapasiti yang boleh ditanggung setiap sekolah berdasarkan alamat rumah. Padanannya, yang mana alamat lebih berdekatan dengan sekolah, akan cuba diusahakan.

Macam di Seremban 2, terdapat 3 buah sekolah rendah. Antara 3 sekolah berkenaan, belum tahu lagi rezeki kakak Aisyah dimana..

Ehm.. Tidak dapat saya bayangkan bagaimna situasi kakak 'Aisyah di hari pertama memulakan sesi persekolahan baru.. :) Apa-apa pun semoga Allah melancarkan dan memuahkan urusan kami sekeluarga, inshaa allah..

No comments:

Post a Comment