Wednesday 30 October 2013

Ujian Allah : Endometriosis



"Awak mengandung dah berapa bulan dah?"

"Alhamdulillah, nak masuk 5 bulan dah.." Jawab si bakal ibu, sambil bibir tak lekang dengan senyuman gembira.. Pastinya dalam hati jua berbunga-bunga bahagia, memikirkan anak yang bakal lahir yang pastinya menyerikan lagi kehidupan mereka suami isteri.

Melayari kehidupan sebagai seorang wanita dan ibu amat indah bukan.. Tapi tak semua wanita berpeluang menjadi seorang ibu walau itulah yang amat didambakan.. Rezeki harta, wang ringgit, anak-anak, Allah dah tentukan pada setiap hambaNya.. Apa yang menjadi ukuran adalah penerimaan kita sebagai hambaNya yang seharusnya tak putus berusaha dan berdoa, dan akhirnya redha dengan apa yang diperolehi..

Allah berfirman yang bermaksud:

“Adakah manusia mengira, bahawa mereka akan dibiarkan saja, dengan mengatakan: Kami telah beriman, padahal mereka belum lagi mendapat cubaan?” (Surah al-Ankabut, ayat 2)

Saya hanya ingin berkongsi secebis kisah kakak ipar saya. Sejauh mana kekuatan dirinya menghadapi ujian Allah, hanya dia dan Allah yang tahu.. Kakak ipar saya bertemu jodoh dengan abang, 11 tahun yang lalu.. Tak sampai beberapa bulan berkahwin, bapa beliau telah kembali ke rahmatullah, kemudian ibunya pula mengikut jejak yang sama. Beliau cuma mempunyai seorang kakak.

Sejak berkahwin, abang saya tinggal bersama kami sekeluarga. (waktu itu pastinya saya belum berkahwin) Maka, di dalam sebuah rumah, termasuk kami 6 beradik, mak dan abah, menjadikan kami 9 orang. Pastinya pada awalnya beliau tidak betah tinggal bersama mertua dan ipar duai. Tapi, alhamdulillah sedikit demi sedikit beliau dapat menyesuaikan diri. Saya sendiri menganggapnya bagai kakak sendiri, dan saya pasti begitu jua dengan mak, abah dan adik beradik yang lain. Malah, dalam hal urusan keluarga, beliau yang banyak membantu. Ketika arwah abah sakit, beliau juga antara yang banyak menghulur bantuan. Kasih sayang beliau tertumpah pada kami, dan amat kami hargainya..

Masa awal perkahwinannya, saya sering mengusik bertanya.. "camner, camner? dah ada isi ye.."
Sungguh, saya ingat sesudah berkahwin, semudah itu nak nak dapat zuriat.. (itu dulu..waktu masih bergelar anak dara..)

Tapi kini, soalan itu seakan mati.. Saya tak lagi mengajukan soalan sebegitu terhadapnya. Saya mengerti situasinya, faham keadaanya, walau tak mampu saya selam sepenuhnya dasar hatinya.. Alhamdulillah, mak dan arwah abah, kami adik beradik tak pernah mendesak bertanyakan hal sebegitu pada kakak ipar dan abang. Malah tak pernah kami menyalahkannya, kami akur dengan ujian Allah.. Sesungguhnya saya bersyukur kami tidak tergolong di kalangan mereka yang bersikap dan berfikir negatif bila berdepan situasi sebegini.

Namun, saya sering berkongsi cerita dengannya. Untuk berkongsi rasa, beliau terlalu bijak menyembunyikannya.. Beliau sebenarnya disahkan mengalami endometriosis. Rawatan demi rawatan dilakukan, namun, adakalanya ia tetap berulang.. Mengimpikan zuriat, banyak usaha yang telah dilakukan, berurut, kaedah kesuburan, IUI, dan yang terbaru, IVF..

(Penyakit endometriosis ini adalah satu keadaan luar biasa di mana tisu dari selaput dalam rahim yang digelar endometrium telah tumbuh di luar rahim. Selaput ini biasanya luruh bersama-sama darah haid. Oleh itu campuran darah dari rahim dengan tisu yang telah berkecai daripada lapisan endometrium serta kuman-kuman bakteria, menjadikan apa yang digelar ‘darah kotor’ atau darah haid.)

"Kak, camner aritu IVF?"

"Heh, tak yah tanyalah. Tak tau nak cakap apa.. " jawabnya.

"la, cakap la.. " pinta saya.

"Masa nak buat tu, ada satu telur je.. Tu pun doktor cakap cam 'fragile' je.. Last2, masa nak satukan tu dah tau tak menjadi.. So, camtu jelah.."

"Er, pastu camne sekarang?"

"Camner apa? Ntah lah.. tak tau lah.. Lagipun endo tu ada lagi.. Doktor suggest wat operation buang endo tu lagi.. RM13 ribu. Tu belum kos nak wat IVF lagi.. Mana ada duit.. Peluang pun tak tau besar ke tak nak sukses.. " tersenyum menyembunyikan rasa hati dan ada seakan nada mengeluh. Tapi saya yakin, ianya bukan keluhan kerana ujian Allah, tapi keluhan melepaskan rasa yang tak terluah di dasar hati..

"Tak buat apa la ni.. Lagipun aritu scan, nampak polips (cam ketumbuhan kecil) kat rahim.. Kalau membiak, boleh jadi kanser.. Tapi belum la, tak banyak pun.. " bersahaja je jawabnya..

Pernah dulu mereka suami isteri hendak mengambil anak angkat. Tapi, bila hampir diluluskan, kakak iparku menolak, kerana sewaktu bertemu dengan anak kecil tersebut, seakan tiada rasa soul atau chemistry, katanya.. Mungkin hati masih berbelah bagi kerana berlainan darah keturunan.

Lagi satu perkara yang meruntunkan hati saya..

"Akak pernah cakap ngan abang awak, nak kawin lain, kawin la. Tapi, akak tak nak duduk sini la nanti.. Duk rumah lain.."

Saya hanya terdiam. Saya sendiri tak tahu bagaimana sebenarnya apa yang abang saya rasa. Memang memiliki zuriat sendiri itu impian setiap insan. Tapi, saya lihat abangku jua tenang menghadapi situasi ini..

Dan, dengan anak2 saudaralah tempat mereka bermanja.. Malah 'Aisyah, Maryam , Khadeejah dan sepupu-sepupu mereka, Irfan, Naufal dan Harith memang suka betul dengan mak ngah dan pak ngahnya ni.. Dibawaknya berjalan, dilayan karenah anak-anak saudara ini.

Simpati dihati, hanya doa yang selalu saya titipkan..

"Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim.. Kau murahkanlah rezeki mereka dengan anak yang soleh solehah, anak yang menjadi impian mereka. Berikan mereka kekuatan dan redha dengan apa jua ketentuanMu.."

 Sumber artikel : alamhamil.com


Apa itu Endometriosis?

Endometriosis adalah masalah perubatan atau penyakit yang berkaitan dengan tisu yang melapisi bahagian dalam rahim (juga disebut endometrium)  telah tersebar dan tumbuh di kawasan organ lain di dalam tubuh wanita. Kebiasaannya berlaku pada organ-organ pelvis. Endometriosis yang ditemui di saluran fallopian dan ovari boleh menyebabkan parut, pelekatan dan salur fallopian tersumbat serta boleh mempengaruhi kesuburan seseorang wanita.
Endometriosis dikatakan menyerang 7 peratus daripada wanita dalam lingkungan umur 18-35 tahun dan merupakan salah satu sebab utama mengapa wanita gagal hamil.
 
Apakah gejala-gejala endometriosis?
Sakit pada bahagian pelvis adalah di antara gejala utama dan ia kerap terjadi sebelum kitaran haid bermula lagi. Sakit juga kerap terasa semasa melakukan hubungan seks, semasa membuang air kecil atau air besar.
Walau bagaimanapun, kekerapan dan intensiti rasa sakit sebenarnya tidak berkait dengan keseriusan penyakit yang dialami. Sesetengah wanita mungkin mengalami sakit yang keterlaluan tetapi endometriosis mungkin masih dalam peringkat awal dan kepada mereka yang tiada gejala atau sakit yang ringan mungkin sudah pada tahap endometriosis yang sudah teruk.
Dalam kebanyakkan kes, endometriosis gagal didiagnoskan pada peringkat awal sehinggalah wanita tersebut berjumpa doktor disebabkan kegagalan untuk hamil. Ini kerana kebanyakkan dari pesakit tidak mempunyai sebarang tanda dan gejala.

Apakah kesan endometriosis terhadap kesuburan wanita?
Untuk mengetahui kaitannya dengan kesuburan, amat penting untuk wanita memahami dengan jelas apa itu endometriosis dan bagaimana ia boleh mempengaruhi  kesuburan mereka.
Dalam keadaan normal, lapisan endometrium cuma ada pada dinding rahim sahaja. Manakala bagi kes endometriosis, lapisan tisu itu juga dijumpai pada kawasan badan yang lain terutamanya di dalam pelvis seperti ovari, salur fallopian, di permukaan rahim, di ruangan pelvis sekitar usus, rektum dan pundi kencing. Ia boleh juga dijumpai di bahagian-bahagian yang lebih jauh pada tubuh termasuklah paru-paru dan hati, tetapi ini sangat jarang berlaku.

Walaupun tisu endometrium berada di luar kawasan yang tidak sepatutnya, ia masih responsif terhadap perubahan hormon yang berlaku semasa kitaran haid wanita. Seperti mana haid, tisu endometriosis akan gugur dan berdarah, dengan cara yang sama dengan dinding rahim gugur dan berdarah semasa kitaran haid. Pendarahan ini boleh menyebabkan rasa sakit, terutama sebelum dan semasa haid.

Tisu yang gugur dan berdarah di sekitar organ pelvis akan menyebabkan parut dan organ-organ lain yang berhampiran akan melekat di antara satu sama lain.
Sekiranya tiada rawatan dan tidak dikesan lebih awal, ia akan akan menyebabkan struktur organ-organ pelvis beralih dari kedudukan normal. Sebagai contoh yang paling kerap berlaku, kedudukan ovari yang melekat pada uterus akan menyebabkan salur fallopian akan berjauhan dari ovari dan sekiranya berlaku ovulasi, telur tidak akan dapat dicapai oleh salur fallopian dan persenyawaan tidak akan berlaku.

 Dalam kes yang lebih serius, kerosakan mendalam pada salur fallopian menyebabkan ia tersumbat, rosak dan infertiliti akan berlaku. Ovari yang ditumbuhi endometriosis pula akan mengumpul darah semasa kitaran haid dan berlakulah ovarian cyst yang mengandungi darah iaitu seakan-akan seperti coklat cair di dalamnya.
 
Sekiranya keseluruhan ovari telah diselaputi oleh endometriosis, ovari tidak dapat lagi berfungsi dengan normal dan gagal melepaskan telur disebabkan follikel terperangkap oleh parut pada bahagian permukaan ovari.

Endometriosis juga boleh mengurangkan kesuburan dengan melepaskan bahan kimia beracun pada pelvis. Sekiranya telur berjaya dilepaskan juga dari ovari, bahan kimia ini boleh mengurangkan kemampuan telur untuk disenyawakan. Bahkan ia juga boleh memberikan signal kepada sel pemusnah badan untuk melemahkan telur, sperma dan juga embrio menyebabkan janin kurang sihat dan keguguran senang berlaku.

Siapa Berisiko? Apa Punca Endometriosis?
Sehingga kini saintis masih belum dapat mengenalpasti punca sebenar bagaimana ia terjadi. Tetapi terdapat teori yang baik dan boleh memberikan penjelasan mengapa ia mula terjadi. Adalah dipercayai bahawa darah haid yang berundur ke belakang telah membawa bersama tisu endometrium menyebabkan ia tumbuh pada pelvis dan berdarah seperti mana kitaran haid. Ada juga yang menyatakan ia tersebar melalui darah ke pelbagai bahagian tubuh yang lain. Ia juga mungkin melibatkan mekanisma yang lebih kompleks di mana terdapat interakasi tidak normal pada peringkat sel dan perubahan hormon.

Endometriosis kerap terjadi pada wanita yang berada dalam lingkungan umur lewat 20-an dan 30-an dan juga pada wanita yang tidak pernah mempunyai anak. Endometriosis memiliki komponen genetik iaitu sekiranya seseorang wanita yang mengalami endometriosis mempunyai saudara terdekat, ada kemungkinan saudaranya itu mungkin mengalami endometriosis juga.
Bagaimana diagnosa boleh dilakukan?
Doktor selalunya akan mengambil sejarah perubatan terperinci dan melakukan pemeriksaan fizikal, termasuk pemeriksaan faraj dan juga pemeriksaan US. Jika doktor mengesyaki kemungkinan wanita itu mengalami endometriosis, beliau mungkin menyarankan pembedahan laparoskopi dijalankan untuk melihat keadaan bahagian dalam ruang pelvis. Jika endometriosis dijumpai, doktor akan menentukan sejauh mana endometriosis sudah dan berapa banyak kerosakan yang telah berlaku.

Bagaimana Endometriosis dirawat?
Rawatan untuk endometriosis bergantung pada sejauh mana penyakit, gejala dan keinginan pesakit untuk memiliki anak. Endometriosis boleh dirawat dengan ubatan, pembedahan atau kombinasi kedua-duanya. 
 
Walau bagaimanapun pesakit harus sedar bahawa proses yang menyebabkan endometrisis masih lagi berlaku dan akan berterusan berlaku sepanjang hidup. Jadi risiko untuk mendapat penyakit ini semula adalah tinggi. 

Rawatan ubat sahaja mungkin boleh menghilangkan rasa sakit tetapi tidak akan  menghalang endometriosis dari merebak. Rawatan hormon pula boleh mempengaruhi kesuburan dan tidak sesuai untuk diberikan kepada mereka yang merancang untuk hamil.

Dalam banyak kes endometriosis, pembedahan menjadi pilihan utama dan pembedahan biasanya dilakukan melalui laparoskopi. Semasa laparoskopi, tisu endometriosis dimusnahkan atau dibuang dan tisu-tisu yang baru terjadi akan dibakar dengan mengunakan alat khas. 

Beberapa penyelidikan menunjukkan bahawa kadar kehamilan selepas pembedahan untuk wanita yang mengalami endometriosis adalah setinggi 47 peratus. Kepada mereka yang mengidap endometriosis yang serius mungkin sekitar 38 peratus. Walaupun kadar kehamilan tidaklah begitu tinggi, tetapi ia jauh lebih baik daripada kadar kehamilan tanpa sebarang rawatan pembedahan.

Saturday 26 October 2013

Konsep Berniaga Dalam Islam

Bismillah..

Menyedari berniaga dalam islam merupakan sunnah dan perkara muamalah dimana saling memberi dan menerima, saya mula berminat menerokai lagi konsep ini dengan mencari 'guru' dan rujukan yang membawa kepada konsep islami. Sebelum ini jual beli mungkin dianggap rutin biasa dalam kehidupan. Namun jika kita selam dari sudut Islam, kita akan lihat dan sedar betapa ianya satu urusniaga yang bukan sekadar meraih untung, malahan ganjaran yang bukan bersifat duniawi inshaa allah..

Erti hidup pada memberi.. Ia 'slogan' yang sering diungkapkan oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil.

Saya melihat, dalam apa jua yang kita lakukan, ia bukan sekadar untuk diri sendiri sahaja. Kita hidup, perlukan rezeki yang halal bukan sahaja untuk diri kita malahan untuk diberikan kepada keluarga. Pada masa yang sama kita juga memperuntukkan sebahagian untuk orang lain. Barulah ianya memperoleh barakah.

Apakah erti keuntungan yang sebenarnya? Keuntungan kalau kita fahami dari sudut islami dan insani bukanlah bermaksud rigid menjual barang dengan harga yang lebih tinggi dari modal. Untung juga boleh diperoleh dalam keadaan harga yang dijual lebih rendah dari harga kos.

Dalam berniaga, adakala kita memang mengambil untung dari segi nilai wang. Namun adakalanya kita jua perlu bersedia untuk mengambil untung modal sahaja dan ada masanya mungkin kita mengalami kerugian dari segi nilai wang tetapi untung dari segi nilai lain.

Suka saya membawa contoh yang diberikan oleh saudara Shamsudin Kadir.  Sebagai peniaga, untuk pelanggan yang dilihat berkemampuan kita boleh menjual barang / menawarkan perkhidmatan  pada harga premium iaitu tinggi dari kos yang kita keluarkan. Bagi pelanggan yang dilihat tidak mampu tetapi barang / perkhidmatan tersebut adalah keperluan buat mereka, kita boleh menawarkan diskaun, dimana harganya kurang tetapi kita masih mendapat untung. Sekiranya pelanggan benar-benar tidak mampu tetapi ianya perlu buat mereka, kita mungkin boleh memberi pada harga kos yang mana kita tidak memperoleh untung. Atau sekiranya benar-benar dhaif atau pun OKU, kita boleh sahaja memberinya secara percuma.

Disini terletak indahnya islami dan insani. Berniaga dalam islam merangkumi bukan sahaja untung nilai duniawi, tetapi merangkumi pahala, zakat, sedekah dan saling berkasih sayang. Berniagalah dengan memegang konsep patuh syariah, inshaa allah Allah mudahkan jalan dan memberi keberkatan.

Secara asasnya. ia boleh disimpulkan bahawa berniaga di dalam Islam ini adalah berkonsepkan :-
  • Kasih sayang
  • Tiada paksaan
  • Tiada pengaruhi pelanggan
  • Tidak menjual pada pelanggan yang dirasakan produk itu tidak sesuai buat mereka / bukan keperluan.
  • Tidak menjual barang/perkhidmatan yang membazir

Friday 25 October 2013

Tanda Hendak Bersalin Dan Pengalaman Yang Berbeza

Bismillah..
   
Setiap pasangan yang punya jiwa insani sememangnya menigimpikan untuk memiliki cahaya mata kan. Berita si isteri berbadan dua semestinya adalah perkhabaran gembira buat pasangan. Bermula dari detik perkhabaran itu, makanya bermulalah episod dan rutin baru. Dan pemeriksaan kesihatan isteri dan kandungannya adalah rutin bulanan wajib.

Sejak sekian lama kita difahamkan tentang proses pemeriksaan yang rigid. Saya menyentuh dari perspektif pemeriksaan di klinik kerajaan ye. Bermula dari proses membuka buku merah dan seterusnya pemeriksaan kesihatan yang lain. Secara jujurnya,saya tidak mempunyai komen mengenai ini. 

Permeriksaan kesihatan yang dijalankan tersebut bagi saya memang perlu untuk mengetahui tahap kesihatan si ibu dan kandungannya. Antaranya pemeriksaan tekanan darah, tahap air kencing, paras hemoglobin ibu,denyut jantung kandungan dan lain-lain lagi. Ia saya rasakan perlu untuk kita ketahui sepanjang membawa kandungan ini disamping pengawasan dari si ibu itu sendiri.
Cumanya saya masih dalam pemerhatian adakah perlu suntikan imunisasi bagi pencegahan sesuatu penyakit itu. Namun bukan ini yang ingin saya ulaskan.                               

Menyentuh mengenai tibanya detik kelahiran, tanda-tanda berikut boleh dijadikan panduan. Mungkin bukan kesemua tanda berikut si ibu akan alaminya. Lain wanita, lain apa yang dialaminya.

1) keluarnya lendir bercampur darah - tanda pintu rahim mula membuka
2) sakit pada bahagian pinggang dan belakang
3) proses kontraksi (contraction) yang semakin kerap dan tempoh sakit semakin panjang. contohnya kontraksi 5 minit sekali dalam tempoh sejam
4) pecah air ketuban - warnanya jernih dan tanpa bau

Makanya apabila tanda-tanda ini telah ada, kita dinasihatkan perlu ke hospital kerana proses kelahiran sudah menghampiri.

Sama ada kita sedar atau tidak, dan kita tahu atau tidak, kita akan mengikut apa yg telah digariskan oleh pihak hospital/disarankan oleh doktor. Tanpa pengalaman, ilmu dan mengetahui hak kita sebagai seorang pesakit, kita hanya akur. Saya tidak melihat contoh orang lain, tetapi ia berdasarkan pengalaman saya sendiri dengan 3 situasi kelahiran.

Pengalaman Anak pertama

Kami mengambil keputusan untuk bersalin di HUKM, selepas memohon petunjuk dan tidak henti-henti berdoa agar kelahiran anak ini nanti tidak disambut oleh doktor/kakitangan lelaki. Alhamdulillah, Allah maha Mendengar..

Usia kandungan telah mencecah 40 minggu 1 hari. Pagi itu, terasa kontraksi yang agak kerap, tetapi tidaklah terlalu sakit. Saya agak keliru. Inikah tandanya? Selepas berfikir-fikir dan bertanya pada ibu dan rakan, mereka sarankan ke hospital. Saya tiba di HUKM jam 11 lebih pagi. Terus ke wad kecemasan untuk kes ibu bersalin. Disana, doktor memeriksa bukaan telah pun 3-4 cm. tanpa diberi apa-apa penerangan, doktor cuma berkata..
 
"saya pecahkan air ketuban ye untuk cepatkan proses".

saya yang sememangnya tiada apa-apa pengetahuan hanya akur. Kemudian saya ditolak ke wad bersalin, dicucuk tangan untuk dimasukkan  yang saya panggil 'air' ketika itu. Sungguh, saya tidak tahu apa air itu dan fungsinya.

Alhamdulillah, pukul 3 pm saya selamat melahirkan 'Aisyah Humaira. Kelahiran yang dipermudahkan, alhamdulillah..

Pengalaman Anak Kedua

Kali ini, kami memilih Kohilal Taman Melawati. Tanggal 14 Ogos, bersamaan 4 Ramadhan (40 minggu 4 hari) saya pergi untuk chek up. Pagi tu rasa macam contraction sikit-sikit.. Tapi perasaan terdetik macam.."eh, yeke.. perasaan je ni kot.. sebab terlalu mengharap sangat baby keluar.."Lagipun, bila kira2 tak de pun datang selang 20 minit, selang 10 minit ke..sakit pun tak sangat..

Dipendekkan cerita, bila jumpa doktor... Doktor kata dah buka 3 cm.. Terkejut jugak..

"Awak nak terus masuk wad ke, atau balik rumah dulu, tunggu laluan buka sendiri..?"

Saya seakan terkulat-kulat memandang suami.. Kami serba salah.

" Saya rasa awak terus warded lah.. saya tengok muka awak cam dah risau lain je..." kata doktor..

"Nanti cek CTG, pastu saya masukkan water drip.." sambung doktor..
 
Dan kami akur. Itu yang disarankan oleh doktor.
 
Selepas solat zohor, dan berbuka puasa kerana ingin mengumpul tenaga, lebih kurang jam 215 ptg, 'water drip' dimasukkan. Selepas water drip dimasukkan, saya mula merasakan contraktion yang agak kerap, tapi dalam masa sama rasa hairan, "eh, takkan lah dah rasa nak bersalin ni?" tapi rasa tu seakan tidak dapat ditahan lagi. Saya memberitahu nurse. Nurse pada mulanya seaakan tidak percaya , namun selepas cek bukaan laluan, mula kelam kabut sediakan peraalatan untuk menyambut kelahiran.

Nurse memaklumkan, doktor tiada kerana ke kedai sebentar membeli barang dapur..huhu.. Tidak lama kemudian doktor tiba dengan tergesa-gesa. Alhamdulillah, Maryam Safiyyah selamat dilahirkan jam 357 pm.

Pengalaman Anak Ketiga

Untuk kali ini, saya bersalin tanpa ditemani suami kerana suami terpaksa bekerja out station. Apabila kandungan mencecah 40 minggu, saya mula menunggu tanda yang bagaimana pula kali ini. Pagi itu, saya lihat ada sedikit campuran lendir darah keluar dari faraj. Namun tiada seabarang tanda contraction. saya mula mencongak-congak.. hendak pergi ke hospital atau terus tunggu di rumah. 

Memandangkan semua adik beradik bekerja dan tiada siapa yang dapat menghantar ke hospital sekiranya saya sakit bersalin petang itu,kakak ipar saya nasihatkan saya untuk pergi ke hopital. Lebih kurang 1 tengahari, kami sampai di Annur Bangi. bukaan telah pun 2 cm. doktor memberi pilihan untuk balik ke rumah dan tunggu sehingga benar-benar sakit atau menyarankan 'masukkan ubat' untuk mempercepatkan proses bersalin tersebut.

Kali ini, saya lebih bersedia dengan apakah itu "air", "water drip" dan "masukkan ubat" yang dimaksudkan. Setelah merasai 3 pengalaman bersalin (yang satu hampir merasai ketika itu), tiada seorang nurse atau doktor pun yang menerangkan ia adalah sejenis ubat 'Oxytocin(pitocin) yang dimasukkan bagi mempercepatkan proses kelahiran. Melalui pembacaan saya, biasanya doktor akan memasukkan ubat ini apabila mendapati proses melahirkan lambat, sedangkan rahim telah mula bertindak balas.

Masalahnya, untuk situasi ketiga-tiga kelahiran anak ini, doktor terus sarankan kepada saya untuk dimasukkan oxytocin, sedangkan mereka belum pun memantau proses kelahiran itu secara natural.

Untuk pengalaman ketiga ini, saya bertanya pada doktor, perlukah ubat itu dimasukkan? doktor hanya berkata terpulang pada saya. dengan menyatakan , "kalau masuk ubat tu, cepat sikit prosesnya, malam ini boleh bersalin. kalau hendak tunggu sendiri, mungkin esok baru bersalin".

Saya mengambil keputusan tidak mengambil ubat tersebut dan menunggu secara alami. Dan, dengan izin Allah, malam itu jam 11 malam, saya selamat melahirkan Khadeejah Husna.

Melihat kembali pengalaman ketiga-tiga kelahiran anak saya ini, saya simpulkan sendiri saya mungkin kategori yang senang melahirkan, maksudnya tempoh untuk menunggu proses kelahiran itu tidak lama. Alhamdulillah.. Moga untuk anak yang keempat dan sterusnya ini pun begitu juga.
 
Itu secara ringkas pengalaman melahirkan ketiga-tiga anak saya. Namun fokus utama saya belum lagi tersampai di dalam entry ini. Nampaknya kena tunggu entry seterusnya untuk saya  coretkan..

Inshaa allah kita jumpa di entry akan datang ya..


MONOLOG CINTA



Suatu masa dulu,
Tak pernah terbayang bagaimana pengisian kehidupan yang mendatang..
Tak pernah terbayang bersama siapa akan mengharungi bahtera ini..

Namun, 21 JULAI 2006..
Tanggal termetrinya penyatuan 2 hati
Antara aku dan dirinya..

Sesungguhnya...
Allah maha tahu
Sedalam mana syukurku,
Dipertemukan dengan dia, insan yang amat istimewa di hati,
Bukan sekadar sebagai teman, tetapi dialah dahan untuk ku berpaut..

Dia realiti indah buatku..
Dia syurga buatku..
Dia anugerah tak ternilai dariMU..

Ya Allah,
Restui cinta kami,
Berkati kasih sayang kami,
Lindungi mahligai kami,
Rahmati keluarga kami,
Pelihara kehidupan kami...

Atas cintaMU kami bersatu,
Dengan kasihMU kami berpadu,
Restui kami hingga ke syurga,
Amin Ya Allah..

Terima kasih Ya Allah..
Moga rasa syukur sentiasa dihati kami.

Pemeriksaan di Klinik Kesihatan

Bismillah..

Ehm.bangun pagi hari ini, tiba-tiba terdetik hendak ke klinik kerajaan untuk buka buku merah. Sebelum ini,memang tidak merancang pun dan rasa 'malas' nak membukanya disebabkan beberapa faktor. Selepas pulang dari Saudi, hanya sekali ke Pusrawi untuk cek up kerana merancang hendak bersalin di sana. Saya mendapat info dr noor fidak support gentle birth dan mesra permintaan pesakitnya. Sebab itu kali ini saya merancang bersalin di sana. Tetapi memandangkan check up biasa+ scan sudah mencecah rm200, rasa ralat la pula setiap kali pemeriksaan hendak kesana.

Jadi untuk pemeriksaan biasa seperti tekanan darah dan lain-lain, klinik kesihatan pilihan terbaik.. :) cumanya jika datang waktu pagi,beginilah keadaannya..letih menunggu.

Kandungan sebelum-sebelum ini, saya akan tetapkan appoinment pada sebelah petang di klinik kerajaan. Ketika itu memang tidak ramai. Tetapi untuk pertama kali membuka buku merah( kandungan baru), kita perlu datang sebelah pagi.. Jadi kenalah juga hadapi situasi menunggu ini..    

Sebenarnya kali ini saya agak malas hendak ke klinik kerajaan kerana :-
1) tidak mahu terikat dengan prosedur pemeriksaan
2) tidak mahu rasa terpaksa mengikut apa yang digariskan oleh kementerian.
Walaupun kita boleh memohon beberapa perkara tidak dilaksanakan, tetapi kemungkinan akan hadapi kesukaran memahamkan mereka kehendak kita.

Oh..saya bukanlah seorang yang cerewet sebenarnya.. Tetapi kali ini saya lebih terpanggil untuk merasai proses kandungan dan kelahiran yang lebih alami inshaa allah..

Alhamdulillah, terdedah dengan info dari teknologi kini ini banyak membuka mata dan minda saya. Saya pun bukannya arif tentang sesuatu perkara itu. Tetapi saya akan mengambil sesuatu info itu berdasarkan fakta dan logik akal serta suara hati saya.

Adakalanya kalau benar sekali pun sesuatu fakta itu, tetapi gerak hati saya seakan berat, saya tidak akan terus mengambil fakta tersebut.

Inshaa allah di penulisan akan datang saya akan beritahu apa yang saya maksudkan ini.
Kisah Ibu Muda
Untuk membuka rekod baru kandungan, seperti biasa maklumat-maklumat diri dan sejarah kandungan perlu diisi. Seorang nurse akan bertanya beberapa soalan untuk direkodkan. kebetulan ketika giliran saya, terdapat seorang lagi yang turut membuka rekod baru kandungan disiitu. Kami duduk membelakangi satu sama lain.

" bila tarikh period yang akhir bermula?" tanya nurse.
"ehm.. saya tak ingat.. rasanya dalam bulan 1 @ 2.." 
"jad, macam mana tau mengandung?"
"saya rasa macam ada benda gerak2 dalam perut.."

Sesi soalan yang pada mulanya saya anggap biasa, terasa janggal pula bila dengar jawapan si ibu tersebut.

Nurse tersebut meneruskan soalan..
"ehm.. dah berkahwin?"
soalan itu tiada jawapan verbal, hanya gerakan kepala.
"sekarang umur 17.. spm la ye tahun ni?"
"aah.."

nurse tersebut melekatkan pelekat bewarna putih kalau tidak silap saya. Ia khas untuk kes "single mother".

Kemudian, proses seterusnya  diteruskan dengan mengambil darah dan pemeriksaan kesihatan yang lain.

Saya yang berada di bilik tersebut, agak tersentap emosi melihat keadaan tersebut. Melihatkan rutin tersebut seperti sudah agak biasa dikendalikan.

Sedih melihatkan si ibu muda bakal melahirkan anak tidak sah taraf.
Sedih  apabila ia seperti situasi yang biasa. Si ibu muda seakan tiada perasaan malu atau segan. (ia pandangan luaran saya sahaja). 
Sedih tiada satu ayat 'teguran' atau 'nasihat' yang keluar dari nurse tersebut.

Allah.. sudah terlalu biasakah fenomena ini?
Apa-apa pun cerita disebalik kandungan itu, saya berharap agar adik itu telah insaf dan sedar akan kesalahan dan pasangannya. Sedar, akan maksiat yang mereka lakukan. Alhamdulillah adik itu ingin meneruskan kandungan tersebut dan tidak membuat satu lagi dosa dengan menggugurkan kandungan tersebut. Semoga dia dapat menjaga anak itu sebaiknya, atau jika dirasakan tidak mampu, dia akan menggunakan saluran yang betul untuk membesarkan anak tersebut.

Namun saya agak terkesan dengan sikap nurse tersebut. Saya tahu, mungkin mereka terikat dengan prosedur dan akan melayan setiap apa jua situasi ibu yang mengandung. Saya tiada masalah mengenai itu. Tapi alangkah baiknya jika kesempatan itu nurse tersebut menyelitkan sedikit kata-kata positif terhadap si ibu tersebut. Bukan niat untuk menyibuk-nyibuk, bukan niat untuk mengaibkan. Tetapi teguran mesra yang mengingatkan mengenai perihal tanggungjawab terhadap kandungan tersebut. Teguran mesra yang bukan membuka pekung si ibu tetapi rasanya kesempatan itu setidak-tidaknya nasihat dan dakwah halus boleh diselitkan.

Mungkin sikap tidak ingin menjaga tepi kain orang diamalkan. Tetapi lihatlah pada situasi. Kita berkasih sayang kerana Allah. Kita menegur kerana rasa kasih sesama insan. Ruang tersebut juga tertutup, tidak terbuka kepada umum, cuma ada saya dan seorang lagi nurse sahaja. Dan kalau teguran secara halus dan berhemah diberikan, rasanya ia tidak mengaibkan si ibu muda itu. Kerana saya merasakan apabila kes-kes yang sama diterima seperti itu, makanya si ibu tanpa suami yang lain menganggap ianya perkara biasa dan mereka tdak perlu risau atas kesalahan/dosa yang dilakukan berikutan penerimaan positif terhadap apa yang mereka lakukan. Bantuan diberkan tanpa ada banyak soal... Ianya lebih baik bantuan yang diberikan beserta sokongan dan kesedaran. wallahu aklam..

Wednesday 9 October 2013

Bisnes Online Dalam Islam

Bismillah..

Jual beli secara online telah menjadi satu fenomena dan dianggap medium yang dirasakan selesa, cepat dan mudah. Tidak perlu saya jelaskan apakah itu sistem bisnes online kerana secara asas, rasanya semua telah tahu.


TRANSAKSI BISNES ONLINE DALAM ISLAM
Transaksi online dibolehkan dalam Islam berdasarkan prinsip-prinsip yang ada dalam perdagangan menurut Islam. Boleh disimpulkan, bisnes online sama seperti bisnes offline. Yang membezakannya ialah proses transaksi (akad) dan medium utama dalam transaksi online iaitu melalui internet.
Bisnes online disifatkan mengikut prinsip transaksi AS - SALAM. Apakah itu transaksi jual beli As-salam?
Jual Beli AS-SALAM  
Ia adalah bentuk transaksi dengan sistem pembayaran secara tunai/disegerakan tetapi penyerahan barang belum dibuat. Dalam konteks kebiasaan bisnes online, selalunya pembeli yang telah berminat dengan sesuatu barangan akan membayar telebih dahulu ke akaun penjual. Kemudian, barulah penjual akan membungkus dan membuat urusan pengeposan kepada pembeli tersebut.
Syarat jual beli as-salam :
berkaitan bayaran yang diserahkan pembeli ialah perlu jelas jenisnya, jelas jumlahnya, dan diserahkan secara tunai ketika akad berlangsung (tidak boleh dengan pembayaran tertunda)
  
berkaitan dengan akad salam : telah dijamin oleh penjual, barang yang dijual diketahui ciri-cirinya dan jumlahnya sehingga boleh dibezakan dengan yang lain dan telah jelas mengenai urusan tempoh penyerahan barang tersebut.

Sayyid Sabiq -rahimahullah- menjelaskan, 

“Jual beli salam dibolehkan berdasarkan kaedah syariat yang telah disepakati. Jual beli semacam ini tidaklah menyelisihi qiyas. Sebagaimana dibolehkan bagi kita untuk melakukan pembayaran tertunda, begitu pula dibolehkan barangnya yang diserahkan tertunda seperti yang ditemukan dalam akad salam, dengan syarat tanpa ada perselisihan antara penjual dan pembeli.

Hutang termasuk pembayaran tertunda dari harta yang dijaminkan. Maka selama barang yang dijual disebutkan ciri-cirinya yang jelas dan dijaminkan oleh penjual, begitu pula pembeli sudah percaya sehingga ia pun rela menyerahkan wang sepenuhnya kepada penjual, namun barangnya tertunda, maka ketika itu barang tersebut boleh diserahkan tertunda.

Inilah yang dimaksud dalam surat Al Baqarah ayat 282 sebagaimana diterangkan oleh Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma.


Bagaimana pula dengan isu barang tersebut tidak dilihat secara fizikal dan nyata, hanya melaui gambar sahaja?


Makanya, disini perlulah penjual online sesuatu produk tersebut menyatakan secara jelas sama ada melalui bentuk penulisan, gambar, visual atau pun gabungan antaranya. Sekiranya pihak pembeli masih kurang jelas dan memerlukan penerangan dan spesifikasi yang lebih jelas lagi, mereka boleh berhubung terus dan bertanyakan kepada penjual.
Menurut pandangan ulamak, sah jual beli yang tidak hadir penjual dan pembeli di dalam suatu majlis, asalkan dinyatakan sifat dan spesifikasinya dan pembeli mempunyai hak khiyar (akan dijelaskan maksud khiyar) apabila telah melihat barang tersebut. 

Khiyar disyariatkan adalah sebagai memenuhi kepentingan transaksi perniagaan dalam hukum Islam. Ia meliputi penjagaan kemaslahatan dan kerelaan kedua belah pihak yang melakukan urusan jual beli. Ia juga sebagai perlindungan kemungkinan risiko yang akan merugikan kedua belah pihak.

Khiyar terbahagi kepada beberapa jenis. 
Namun saya hanya menulis secara ringkas mengenai Hak khiyar ru'yah dan Hak Khiyar aib.

Khiyar rukyah ialah hak membuat pilihan yang diberi kepada pembeli sama ada ingin meneruskan kontrak atau membatalkannya apabila telah melihat barang jualan yang tidak dilihatnya semasa melakukan akad

Khiyar Aib ialah hak untuk membatalkan atau meneruskan jual beli barang bagi pihak yang berakad. Hal ini terjadi jika sesuatu barang yang dibeli mengalami kecacatan atau kerosakan, maka penjual berhak mengembalikan wang yang diberi oleh pembeli tersebut.

Dalam konteks masa kini, Khiyar tidak hanya terikat kepada penerimaan atau pembatalan akad semata-mata. Ia boleh diperluaskan dengan perkhidmatan barangan, sebagai contoh memberikan jaminan, samada secara percuma atau separuh harga ataupun penggantian barang yang baru. Perkara ini boleh dibincangkan antara penjual dan pembeli  bagi menjamin kepuasan kedua-dua belah pihak di dalam urusan jual beli.


Khiyar dalam bisnes online

Di Malaysia, hak khiyar ini tidak diperuntukkan secara khusus dalam bisnes online. Cuma kita sebagai penjual boleh memasukkan terma khiyar ini di dalam perjanjian (akad) jual beli yang kita kendalikan.

Kebanyakan peniaga telah pun membuat terma dan syarat urusan jual beli yang merangkumi barangan, perkhidmatan, pembungkusan, pengeposan dan lain-lain. Ada yang menyatakan secara jelas pemulangan atau pertukaran boleh dibuat sekiranya terdapat kerosakan pada barangan. Sistem pengeposan juga adakala mempunyai risiko dimana barangan boleh rosak atau tidak sampai pada tangan pembeli. Jika situasi ini berlaku, siapakah yang perlu dipertanggungjawabkan? Maka, disini lah pentingnya sesuatu syarat dan terma polisi seseorang penjual/syarikat tersebut digunapakai.

Indahnya sekiranya kita mengaplikasikan apa yang digariskan oleh Islam dalam setiap perkara jual beli ini. Tiada pihak yang rugi, dan kebajikan kedua-dua penjual dan pembeli dijaga inshaa allah.

*nota : saya membuat huraian saya di atas berdasarkan pembacaan saya yang tidak seberapa. Sekiranya terdapat sebarang kesilapan dan salah faham, saya mohon maaf dan mohon diperbetulkan Wallahu aklam..

Jual Beli Islam - Syarat dan Rukun

Bismillah..

Jual beli dalam kehidupan hari ini tidak dapat dipisahkan. Boleh dikatakan setiap hari kita melakukan transaksi ini. Membeli makanan, pakaian dan keperluan lain di pasaraya dan kedai-kedai. Dan tidak dapat lari dari arus kini yang lebih selesa membeli belah secara online. Namun andai kita kupas transaksi ini dengan lebih dalam pasti kita lebih jelas.

Apakah yang dimaksudkan dengan jual beli? Jual beli itu adalah ijab dan qabul, iaitu suatu proses penyerahan dan penerimaan dalam transaksi barang atau perkhidmatan. Islam mensyaratkan adanya saling rela antara kedua belah pihak yang bertransaksi.  


Urusan jual beli mempunyai rukun dan syaratnya tersendiri yang harus dipenuhi agar jual belinya sah menurut syara'.
Rukun Jual Beli:   
  • Dua pihak membuat akad (penjual dan pembeli)
Syarat penjual dan pembeli tersebut perlu mereka yang berakal, baligh (mumayyiz iaitu dapat membezakan baik atau buruk) dan berhak menggunakan hartanya 
  • Objek akad (barang dan harga) 

Barang yang diperjual-belikan harus memenuhi syarat-syarat yang diharuskan, antara lain :
  1. Barang yang diperjual belikan itu halal.
  2. Barang itu ada manfaatnya.
  3. Barang itu ada ditempat atau tidak ada (ditempat lain) -perlukan pemahaman yang jelas
  4. Barang itu merupakan milik penjual atau dibawah kekuasaannya - perlukan pemahaman yang jelas
  5. Barang itu perlu diketahui dengan jelas oleh penjual dan pembeli - dari segi sifat, bentuk dan kadarnya.
  • Ijab qabul (perjanjian/persetujuan) 
- perlunya kerelaan antara penjual dan pembeli (suka sama suka). Ekspresi kerelaan adakalanya terlalu subjektif dan hanya hati yang tahu. Makanya, melalui ucapan ijab (dari penjual) dan kabul (dari pembeli) boleh menggambarkan kerelaan antara kedua mereka.

- syarat-syarat ijab kabul adalah :
  1. akil baligh
  2. kabul harus sesuai dengan ijab
  3. ijab dan kabul dilakukan dalam satu majlis

Huraian mengenai hal-hal yang tidak boleh diurus niaga, cara perlaksanaan jual beli dan masalah-masalah lain juga perlu difahami agar  tidak timbul kekeliruan dan menyalahi di sisi Islam. Wallahu aklam..

Jadi bagaimana urusan jual beli di online yang mana pembeli tidak dapat melihat barangan secara fizikal dan nyata? Untuk tahu penjelasannya, boleh ke link http://awatifali.blogspot.com/2013/10/bisnes-online-dalam-islam.html